Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Penduduk Kuala Krai Teruja dengan Inisiatif PEKA B40

By 23 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suhaimi Nik Wil (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Program Sivik Jiwa Murni anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai telah diadakan di Tokong Yit Sit Kong dan melibatkan penyertaan seramai 70 orang Masyarakat Cina setempat.

Sivik Jiwa Murni merupakan aktiviti Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan termasuklah penjelasan berkaitan inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk difahami oleh masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Program ini juga diselitkan dengan pengagihan poster dan bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia dan ternyata sekali mendapat sambutan menggalakkan dari Masyarakat Cina yang sebelum ini tidak mengetahuinya.

Tanpa penjelasan yang menyeluruh dan terperinci, hasrat kerajaan untuk membantu rakyat menerusi dasar dan inisiatif yang dikuatkuasakan akan menjadi sia-sia kerana rakyat tidak menyedari kehadiran dan manfaat yang telah disediakan kerajaan.

Orang ramai sedang mengambil bahan penerbitan

Orang ramai sedang mengambil bahan penerbitan

Penjelasan atau ceramah secara konsisten wajar dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang ramai.

Program pada kali ini menampilkan Dr. Saidi Abd. Rahman, 42, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai yang telah menyampaikan ceramah berkaitan Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (Peka B40) kepada Masyarakat Cina Kuala Krai.

Menurut Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kenor, Poon Yin Chai, 43, berpandangan program sebegini perlu diadakan dengan lebih kerap untuk memberi pencerahan kepada rakyat mengenai sesuatu dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana telah sudi menganjurkan program bersama Masyarakat Cina Kuala Krai dan berharap program sebegini akan terus diadakan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kebaikan yang dicipta kerajaan untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” ujarnya ketika ditemui Malaysiaaktif.

Sementara itu, seorang lagi warga tempatan yang ditemui Nang Ling, 42, berkata inilah pertama kali beliau hadir di majlis anjuran agensi kerajaan. “Saya sebenarnya berasa teruja dengan program sebegini kerana berpeluang mengetahui dengan lebih mendalam mengenai skim PEKA B40. Ia memberi banyak manfaat dari aspek kesihatan untuk dimiliki oleh orang ramai yang memenuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan.

“Inilah diantara pendekatan terbaik yang diperkenalkan kerajaan demi untuk kebaikan rakyat dan sekiranya penjelasan sebegini tidak diadakan, rakyat tidak akan tahu dan skim PEKA B40 yang diperkenalkan kerajaan dengan niat serta tujuan membantu rakyat akan menjadi sia-sia dan tidak bermakna,” tambahnya lagi.

Ternyata sekali Program Sivik Jiwa Murni atau pun program-program Jabatan Penerangan yang lain menjadi landasan terbaik bagi pihak agensi kerajaan untuk menyalurkan sebarang maklumat penting kepada rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya agar masyarakat faham dan jelas mengenai hasrat dan cita-cita kerajaan apabila sesuatu dasar diperkenalkan.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Lim Ann Teck.

-NAZ

Tinggalkan komen anda