Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaTrending

Melaka Tuan Rumah Pelancaran Bulan Kebangsaan; Imbau Sejarah Pengisytiharan Kemerdekaan

By 24 Julai 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Edi Rizam (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Majlis pelancaran program Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Melaka pada 3 Ogos depan dan dijadualkan akan bermula pada pukul 8.30 malam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah acara itu bagi mengimbau sejarah pengisytiharan kemerdekaan negara yang dibuat di negeri ini pada tahun 1957.

“Pemilihan negeri Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah di mana negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956 di Banda Hilir.

“Majlis tersebut dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Melaka Tuan Adly Zahari, Menteri-Menteri Kabinet serta exco-exco kerajaan negeri,” katanya.

Gobind turut menyeru rakyat Malaysia menunjukkan cinta setia kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan penuh kebanggaan bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kerajaan amat menggalakkan pelbagai inisiatif dalam kalangan masyarakat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara sukarela. Ini secara langsung memupuk semangat perpaduan dan meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara bersepadu, meriah dan harmoni,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda