Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

RM18.75 Bilion, Jumlah Pelaburan Masuk di Selangor – Amirudin

By 4 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor menyatakan Negeri Selangor telah melalui pentadbiran yang baik melalui pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini dan telah melonjak dan bertapak dengan pantas ke hadapan.

“Buktinya, tahun 2018 nilai pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negeri ini berjumlah RM18.75 bilion, merupakan antara pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh kerajaan negeri Selangor,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.

Sehubungan itu menurut Amirudin, beliau mengajak rakyat Selangor terus menyokong dan membantu kerajaan pusat memulihkan ekonomi agar kembali disegani di rantau ini.

“Justeru, saya menyeru semua agar bersama-sama membantu kerajaan Persekutuan untuk memulihkan ekonomi negara untuk mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” ujar beliau.

Amirudin turut mengajak rakyat untuk terus menyokong kerajaan yang sedang berusaha memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, terdapat contoh dan petanda baik yang jelas seperti pemulihan institusi penting seperti Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan setahun lalu.

“Kepimpinan negara dan negeri kini senada dalam polisi serta pendekatan yang dapat mengolah perancangan, strategi bersama demi kemakmuran negara,” katanya ketika berucap semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PH Selangor, Parlimen Gombak dan DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves.

Kira-kira 5,000 tetamu hadir majlis tersebut bermula jam 10 pagi hingga 1 petang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Muhammad Hilman Idham dan barisan EXCO Kerajaan Selangor.

-NAZ

Tinggalkan komen anda