Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Wakil Sabah antara Peserta eWash dari Negara Rantau Asia Pasifik

By 18 Julai 2019Julai 22nd, 2019Tiada komen5 minit bacaan

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Menjadi salah seorang peserta daripada 30 yang terpilih untuk menyertai latihan secara bersemuka anjuran International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) pasti membanggakan.

Apatah lagi ia merupakan persediaan untuk penempatan kelak yang terletak di mana-mana negara rantau Asia Pasifik.

Saingan yang sengit daripada ahli-ahli Bulan Sabit Merah (BSM) dan Palang Merah (PM) di seluruh dunia dapat dipatahkan oleh anak jati Sabah, Amir Hussein Amir Hassan melalui prosedur yang ditetapkan.

Menurut Amir, antara peserta yang mencuba nasib, seramai 14 orang terpilih dari Malaysia semasa penilaian terakhir, dan lapan orang daripadanya berasal dari Sabah termasuk dirinya.

Amir Hussein peserta tunggal Sabah ke latihan bersemuka eWash di Bandung

Amir Hussein peserta tunggal Sabah ke latihan bersemuka eWash di Bandung

“Ketika dapat tahu saya yang terpilih, memang saya terperanjat kerana rakan-rakan yang turut mengikuti kursus atas talian tersebut bukan calang-calang kerana mereka lebih lama berkecimpung dalam dunia sukarelawan.

“Bagi rantau Asia Pasifik, pihak ICRC meletakkan seramai 23 hingga 30 orang peserta untuk satu sesi.

“Saingan memang sangat sengit, tetapi tugas kami hanya ikut apa yang disarankan oleh ICRC untuk mengikut kursus dan peperiksaan atas talian.

“Kami juga diminta sediakan pasport dan Curriculum Vitae untuk pihak mereka buat pemilihan di sana,” ujar Amir yang baharu dua tahun menyertai BSM Malaysia.

Surat jemputan yang diterima Amir untuk menyertai latihan daripada ICRC

Surat jemputan yang diterima Amir untuk menyertai latihan daripada ICRC

Jelasnya, beliau terpilih melalui platform e-learning yang dibangunkan oleh ICRC, iaitu satu proses pembelajaran secara atas talian khusus untuk semua ahli BSM atau PM di seluruh dunia.

“Platform tersebut menerapkan banyak topik yang melibatkan program BSM dan PM, salah satunya ialah yang saya ambil sekarang iaitu eWash atau Emergency, Water, Sanitation and Hygiene.

“Dalam e-learning ini ada topik yang mana kami perlu lengkapkan 5 kriteria yang diperlukan untuk web seminar. Web seminar ini bukan sahaja dilengkapi nota, malahan pembentangan dan sesi soal jawab juga dibuat secara atas talian.

“Selepas selesai mempelajari sesuatu topik, kami perlu menjawab peperiksaan yang telah ditetapkan  standard yang tinggi iaitu perlu mencapai 85 peratus ke atas dengan percubaan sebanyak 3 kali setiap sesi.

“Di situlah mereka akan menentukan jika anda menepati kriteria untuk dipilih mengikuti latihan bersemuka, dan pada kali ini ia dianjurkan di Pusat Air dan Sanitasi Darurat, Palang Merah Bandung, Indonesia,” katanya.

Amir yang juga seorang penjawat awam berkata, BSMM merupakan platform untuknya memberi sumbang bakti kepada masyarakat khususnya di daerah Lahad Datu, umumnya di Sabah dan seterusnya Asia Pasifik.

“Saya menyertai BSMM kerana pada pendapat saya sebagai manusia kalau kita membuat satu kerja rutin, sampai satu tahap kita akan merasa tepu. Kita akan merasa bosan dan akan ambil jalan yang lain untuk membuat perubahan dalam diri.

“Jadi saya perlu ambil satu pendekatan yang positif. Walaupun kalau mengikut umur saya sekarang ini orang kata sudah agak terlambat, kerana stigma masyarakat yang menyangkakan persatuan BSM ini merupakan persatuan budak-budak, tetapi saya cuba untuk merubah stigma tersebut.

“Di samping ingin memberi sumbangan, sekurang-kurangnya ia memberi satu kepuasan pada diri dan dalam masa yang sama kita turut menggalakkan orang sekeliling khususnya ahli-ahli BSMM untuk mencapai apa sahaja yang ingin di kecapi dalam persatuan,” ujarnya panjang lebar.

Rancangan Amir, selepas latihan di Bandung, mereka akan adakan satu program untuk State Disaster Response Team (SDRF) khusus dalam bidang eWash di negeri ini.

Beliau juga berharap agar ahli-ahli BSMM untuk turut menyertai e-learning kerana ia merupakan salah satu peluang untuk maju ke hadapan, serta merasai pengalaman pembelajaran ini seterusnya menyumbang kembali, bukan sahaja di tempat sendiri tetapi ke arah global.

“Jika kita rasakan negara kita ini merupakan negara yang mungkin kurang bernasib baik, sebenarnya ada lagi tempat-tempat serantau ini yang lebih tidak bernasib baik, jadi adalah lebih baik kita ambil iktibar dan persiapkan diri kita,” mengakhiri perbualannya.

Paul ketika menerima pingat daripada BSMM Kebangsaan

Paul ketika menerima pingat daripada BSMM Kebangsaan

Amir ditemui pada majlis penghargaan yang diadakan untuknya dan seorang lagi ahli BSMM Sabah yang juga Pengerusi BSMM Papar, Tseu Yun Onn @ Paul Tseu yang telah dianugerahkan pingat Distinguished Service Medal pada Jun lepas.

Pingat tersebut dianugerahi oleh Pengerusi Kebangsaan atas sokongan Jawatankuasa Anugerah PBSMM  kepada ahli-ahli yang telah memberikan perkhidmatan yang bernilai kepada Persatuan dalam tempoh tidak kurang daripada 10 tahun.

Berkhidmat sejak 21 September 1968 sehingga sekarang, Paul pernah membantu dan mengurus pusat pemindahan semasa Bencana Ribut Greg di Keningau pada 1996.

Dalam pada itu, Pengerusi BSMM Sabah, Asnan Yunus Chung berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh ahli-ahli BSMM Sabah khususnya Amir dan Paul.

Beliau sangat berbangga kerana BSMM Sabah dipandang tinggi dan sangat aktif serta banyak menjalankan program, dan harapannya dengan sokongan semua ahli diharap BSMM negeri ini akan lebih maju ke hadapan.

Bangunan Ibu pejabat BSMM yang bakal ditukar kepada Institute First Aid

Bangunan Ibu pejabat BSMM yang bakal ditukar kepada Institute First Aid

Mengulas mengenai perancangannya, BSMM negeri mempunyai impian untuk menukarkan bangunan ibu pejabat yang terletak di Kompleks Badan-badan Sukarela, Jalan Tuaran kepada Institute First Aid (Institut Pertolongan Cemas).

“Jika impian ini tercapai, kami akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada ahli BSMM sendiri. Kami juga sudah menjemput arkitek untuk berbincang mengenai pengubahsuaian yang ingin dilakukan.

“Bangunan ini sudah lebih 30 tahun dan dikurniakan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Harris Salleh ketika beliau menjadi Ketua Menteri satu ketika dahulu.

“Kami juga telah memanggil pakar dan dikatakan bangunan ini masih selamat untuk digunakan tetapi ada banyak tempat yang harus diperbaiki,” ujar Asnan.

Jelasnya, sepanjang 30 tahun lalu, bangunan ini digunakan untuk pentadbiran 26 cawangan BSMM di seluruh Sabah.

Katanya juga, di bangunan itu turut disediakan asrama dan kebanyakannya menganjurkan latihan-latihan untuk belia, latihan bencana alam serta latihan pertolongan cemas yang dilakukan sepanjang tahun.

“Institut ini nantinya bukan sahaja untuk ahli-ahli BSMM, tetapi untuk segenap lapisan masyarakat yang berminat untuk belajar eWash, pertolongan cemas, perancangan bencana alam dan hampir semuanya boleh dipelajari di sini nanti.

“Rancangannya juga supaya masyarakat kita tidak perlu pergi jauh untuk belajar, contohnya jika ada jabatan kerajaan yang ingin belajar mengenai pertolongan cemas sebagai persediaan jika berlaku kecemasan di dalam jabatan, boleh datang belajar di sini.

“Masalah yang kami hadapi hanya daripada segi dana, kerana kami tidak ada pendapatan tetap, hanya sedikit dana dari Majlis Belia Sabah (MBS) kerana objektifnya untuk pembangunan belia.

“Kosnya pasti menelan belanja yang banyak kerana kita ingin menyediakan servis ambulan,hemodialisis, sekolah berserta dapur yang besar untuk persediaan bencana alam.

“Saya hanya berharap sokongan orang ramai untuk merealisasikan impian BSMM ini,” katanya.

Turut hadir, Pengarah BSMM Sabah, Simon Chin dan Setiausaha Kehormat BSMM Sabah, Jenny Kwong Shuk Wah.

Tinggalkan komen anda