Skip to main content
Berita TempatanHomeMelaka

Kaunter Saman PDRM di Dataran Pahlawan ”Diserbu”

By 3 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Idham Ishak

MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Pembukaan kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir hari ini ‘diserbu’ ribuan pengunjung seawal 7 pagi yang mengambil peluang untuk membuat semakan dan menjelaskan kompaun yang dikenakan berkaitan kesalahan trafik.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan diskaun istimewa sehingga 50 peratus bagi pelbagai jenis saman trafik di kaunter yang dibuka sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan berlangsung di dataran berkenaan malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguat Kuasa Trafik Melaka, Supt Hassan Basri Yahya berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila orang ramai menggunakan peluang cuti hujung minggu untuk menjelaskan bayaran saman mereka.

Orang ramai tetap beratur panjang  untuk mebayar saman tertunggak

Orang ramai tetap beratur panjang untuk mebayar saman tertunggak

“Dalam masa dua hari bermula hari ini orang ramai boleh membuat semakan saman dan membayar saman di enam buah kaunter yang dibuka bermula 9 pagi dan kita akan tutup pada 4 petang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata setakat pukul 2 petang ini, sebanyak RM200,000 telah dikutip daripada pesalah trafik.

“Saya harap pesalah trafik mengguna kesempatan ini untuk menjelaskan saman mereka dan datang awal,” katanya.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ akan berlangsung di Dataran Pahlawan dan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, malam ini.

Pekerja swasta, Rizal Hashim, 34, dari Muar, Johor, berkata dia datang ke Dataran Pahlawan sejak pukul 7 pagi untuk membayar saman selain membawa keluarga bersiar-siar pada hujung minggu.

67597977_913733565651955_1084020574092525568_n

“Saya dan keluarga sampai ke Melaka semalam dan menginap di hotel berdekatan, tujuan kami datang ke sini untuk bercuti dan melihat pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang berlangsung malam nanti,” katanya.

Kata Rizal, dia mengetahui PDRM Melaka menawarkan potongan harga 50 peratus bagi saman trafik apabila terbaca berita yang disiarkan menerusi laman sosial Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) semalam.

“Alang-alang dah datang sini (Dataran Pahlawan) saya rebut peluang untuk membuat semakan saman dan membayar saman,” katanya.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda