Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kebolehpasaran Graduan IKBN Kinarut Meningkat 91.6 peratus

By 3 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

PAPAR, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Kebolehpasaran graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut meningkat 91.6 peratus pada tahun 2018 kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Menurutnya, pencapaian ini menunjukkan bahawa potensi graduan IKBN mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian adalah tinggi.

Steven ketika menyampaikan ucapan perasmian

Steven ketika menyampaikan ucapan perasmian

“Peningkatan kebolehpasaran graduan IKBN ini merupakan salah satu Program Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan memperkukuhkan TVET KBS dengan pelbagai inisiatif yang memenuhi keperluan industri.

“Kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pihak industri antara usaha yang telah diambil oleh pihak pengurusan IKBN Kinarut untuk memastikan para graduan memperolehi peluang pekerjaan.

“Terima kasih kepada IOI Plantation Sdn.Bhd., Hotel Le Meredien, JAC Electrical Sdn. Bhd., Parayakin Sdn. Bhd., Rasah Jaya Sdn. Bhd., I-TEC Enterprise, Stingray Pro Construction, Serba Mahir Sdn. Bhd., Sinar Synergy Engineering dan Eramaz Sdn. Bhd kerana telah bekerjasama dengan IKBN Kinarut, ” katanya.

Jelas beliau, hasil pemerkasaan TVET KBS kadar kebolehpasaran Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) seluruh negara telah meningkat daripada 80 peratus (2013) kepada 93 peratus pada tahun 2018 dengan gaji purata RM1678 sebulan.

Steven (tengah) menyampaikan Anugerah Ikonik Usahawan Cemerlang Lepasan IKBN Kinarut kepada Malik (kanan).

Steven (tengah) menyampaikan Anugerah Ikonik Usahawan Cemerlang Lepasan IKBN Kinarut kepada Malik (kanan).

Pihak KBS terus komited untuk mempertingkatkan kualiti hidup anak muda dengan mempertingkatkan bayaran gaji purata antara RM1800 hingga RM2000 melalui inisiatif yang dirancang.

Beliau berkata demikian pada ketika merasmikan Majlis Konvokesyen IKBN Kinarut ke -12 serta Program Career Fest Zon Malaysia Timur (Sabah) 2019 di Dewan Limau-Limauan, pada Sabtu.

Konvokesyen kali ke-12 IKBN Kinarut pada tahun ini dibuat bersekali dengan Career Fest Zon Sabah yang mana ini merupakan platform untuk mewujudkan kerjasama public-private partnership selain mendekatkan hubungan agensi kerajaan dengan pemain industri.

Melalui program ini para pelajar akan mendapat manfaat secara langsung daripada industri bagi menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan sebenar manakala para pengajar pula dapat memperolehi pengalaman serta kemahiran dari segi peningkatan ilmu dan perkongsian teknologi terkini.

Pada majlis tersebut dua orang anak kelahiran Lahad Datu iaitu Mahathir Jumadi yang mengikuti kursus Penjaga Jentera Elektrik A4, telah di nobatkan sebagai Graduan Terbaik Keseluruhan Konvokesyen ke-12 IKBN Kinarut manakala Malik Taginang menerima Anugerah Ikonik Usahawan Cemerlang Lepasan IKBN Kinarut diatas kecemerlangan beliau memajukan diri dalam perniagaan elektrik hanya dalam tempoh masa lima tahun selepas menamatkan pengajian di IKBN Kinarut.

Anugerah Ikonik Pekerja Cemerlang Lepasan IKBN Kinarut disampaikan Steven (tengah) kepada Amir (kanan).

Anugerah Ikonik Pekerja Cemerlang Lepasan IKBN Kinarut disampaikan Steven (tengah) kepada Amir (kanan).

Anugerah Ikonik Pekerja Cemerlang Lepasan IKBN Kinarut diberikan kepada Pensyarah Giat Mara, Jalan Medan Tunku, Kuala Lumpur, Amir Azuan Abdullah diatas pencapaian beliau dalam bidang akademik hingga melayakkan beliau menjawat jawatan di Giat Mara Malaysia selama lebih lima tahun.

Turut diraikan adalah 220 orang graduan yang menerima sijil dalam pelbagai bidang kemahiran manakala 67 orang pelajar separuh masa dalam bidang Pendawaian Elektrik dan Penjaga Jentera Elektrik turut menerima sijil masing-masing.

ER

Tinggalkan komen anda