Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kibar Jalur Gemilang Pupuk Semangat Patriotisme

By 6 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Ezzaty Razimi, Haliza Mohd Taib, Latifah Salleh/Mohd Shah Hood (Muar) 

MUAR, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Amalan mengibarkan Jalur Gemilang perlu dipupuk sejak dari kecil lagi kepada anak bangsa agar rasa cinta dan bangga sentiasa mekar di dalam diri mereka yang mana cara dan identiti tersendiri mampu mewujudkan rasa kasih dan sayang kepada negara.

Jalur Gemilang adalah simbol kebanggaan kita sebagai sebuah negara bermaruah, simbol penghormatan, kedaulatan dan ia adalah lambang perpaduan dan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia.

Setiap tahun, Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia akan menjelajah ke seluruh pelusuk negara bagi mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan cintakan tanah air.

Daerah Muar merupakan destinasi pertama KMJG 2019 di negeri Johor.

Daerah Muar merupakan destinasi pertama KMJG 2019 di negeri Johor.

Daerah Muar merupakan destinasi persinggahan pertama Konvoi KMJG 2019 di negeri Johor menyaksikan ketibaan 17 buah pacuan empat roda dan 30 buah motor berkuasa tinggi dari Kelab Permotoran J17 disambut dengan gegaran paluan kompang di Pantai Leka, Parit Jawa.

Ketua Konvoi KMJG 2019, Shahnon Mohamed meluahkan rasa gembira kerana penduduk di sini memberi kerjasama yang baik dalam menzahirkan semangat patriotisme dan menyahut seruan kerajaan untuk membentuk satu masyarakat yang bersatu-padu.

Ketua Konvoi KMJG 2019 Shahnon Mohamed mengajak masyarakat di sini untuk membentuk perpaduan.

Shahnon Mohamed ketika berucap di KMJG Peringkat Daerah Muar.

Anak-anak cilik daripada Tabika Perpaduan turut menyambut ketibaan para peserta konvoi dengan mengibarkan dan menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan roh semangat sebegini mampu menggelorakan lagi sambutan Bulan Kebangsaan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Wakil rasmi Pegawai Daerah Muar, Fairuzahri Jalaludin mengingatkan masyarakat di sini agar tidak sesekali mengibarkan Jalur Gemilang yang telah pudar, lusuh ataupun yang sudah koyak.

“Marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang yang baru kerana dengan cara inilah kita dapat menzahirkan perasaan cinta dan kasih pada negara,” katanya lagi.

Penyerahan Jalur Gemilang mampu mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air.

Penyerahan Jalur Gemilang mampu mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua jabatan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin-pemimpin tempatan turut diadakan untuk dikibarkan bagi menzahirkan kemegahan dan kebanggaan serta tanda kesyukuran dan terima kasih kepada negara yang memberi banyak peluang untuk menikmati erti sebuah kemerdekaan.

Tema Hari Kebangsaan 2019, Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih menitikberatkan hasrat kerajaan hari ini untuk memupuk semangat cintakan negara dan mengeratkan jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan rakyat yang mempunyai jati diri dan integriti bagi kesejahteraan sejagat.

-NI-

Tinggalkan komen anda