Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

KPLB Terima Peruntukan Tambahan RM15.9 Juta Laksana Projek Luar Bandar

By 6 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menerima peruntukan tambahan tertinggi dalam Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM15,900,000 untuk mensejahterakan kawasan luar bandar.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia menunjukkan keprihatinan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai keperluan pembangunan luar bandar.

“Bagi pihak komuniti luar bandar dan warga perkhidmatan di KPLB Sabah, saya ucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana turut sama berkongsi keprihatinan dan aspirasi untuk sama-sama mensejahterakan kawasan luar bandar dengan menyediakan peruntukan tambahan tertinggi dalam Perbelanjaan Pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan Rang Undang-Undang Perbelanjaan Tambahan Perbekalan dan Pembangunan bagi tahun 2019, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, tambahan peruntukan pembangunan KPLB Sabah mencakupi Projek Pembangunan Kecil sebanyak RM7,400,000; Program Ameniti dan Ekonomi Sosial (RM1,500,000); Program Pembangunan Usahawan Desa (RM1,000,000) dan Program Pembasmian Kemiskinan sebanyak RM6,000,000.

Katanya, Program Projek Pembangunan Kecil adalah untuk pembinaan tambahan sekurang-kurangnya 15 buah jambatan gantung dengan kos RM100 ribu ke bawah setiap satu, menaiktaraf sekurang-kurangnya 100 jalan kampung bernilai RM50 ribu ke bawah setiap satu dan membina sekurang-kurangnya 30 projek naik taraf parit, jambatan kecil dan titian rumah dengan kos RM30 ribu ke bawah.

Ewon dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Dumi Pg. Masdal bergambar sebelum persidangan bermula.

Ewon dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Dumi Pg. Masdal bergambar sebelum persidangan bermula.

“Manakala Program Ameniti dan Ekonomi Sosial pula bertujuan untuk membina tambahan 10 unit pusat komuniti di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera,” katanya.

Ewon berkata, Program Pembangunan Usahawan Desa bertujuan membiayai tambahan 10 unit Pusat Keusahawanan Desa di daerah-daerah yang telah dikenalpasti oleh KPLB Sabah pada tahun ini.

“Program Pembasmian Kemiskinan pula adalah peruntukan tambahan RM6 juta akan digunakan untuk memulakan pembinaan rumah baharu PPRT Negeri Sabah yang akan dilaksanakan di tiga perkampungan MESEJ yang telah dikenalpasti oleh KPLB Sabah,” katanya.

Beliau berkata, KPLB Sabah akan terus mengemukakan input-input berkaitan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan Kementerian Kewangan termasuk keperluan mencipta kod peruntukan untuk program-program baru di bawah KPLB Sabah.

“Input-input ini berasakan kepada hasil dapatan semasa lawatan lapangan yang dibuat KPLB serta input-input daripada para Adun, Pegawai Daerah dan rakyat secara keseluruhannya.

“Saya akan menyampaikan kepada Kabinet perkara-perkara yang saya rasakan mustahak untuk diputuskan bagi membela nasib komuniti kita di luar bandar.

“Belanjawan Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2020 akan dibentangkan pada hujung tahun ini dan saya berharap lebih banyak peruntukan dapat disediakan untuk program-program mensejahterakan luar bandar dan membasmi kemiskinan,” katanya.

ER

Tinggalkan komen anda