Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Konvoi Kembara Rancak Kempen Kibar Jalur Gemilang

By 27 Ogos 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)

KUALA KANGSAR, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Hari ketiga Konvoi Kembara Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2019 menyaksikan 25 kenderaan dari pelbagai agensi tiba di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, di sini, selepas berlepas dari Pengkalan Hulu, tengahari tadi.

Menurut Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Datuk Seri Wan Fadzir Wan Husain, pentadbiran Setiausaha Negeri Perak menyahut saranan kerajaan bagi menganjurkan konvoi kembara peringkat negeri demi merancakkan kempen kibar Jalur Gemilang.

Bendera gergasi pada Blok A SMK Clifford menjadi tumpuan pada sambutan kali ini.

Bendera gergasi pada Blok A SMK Clifford menjadi tumpuan pada sambutan kali ini.

“Konvoi ini sedang dan akan merentasi 12 buah daerah di seluruh negeri agar dapat meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Kempen ini bukti kita turut menjadi sebahagian rakyat Malaysia yang peduli dan ambil berat akan nilai kemerdekaan yang diwarisi oleh generasi terdahulu,” ujarnya ketika menyempurnakan pelepasan.

Dalam pada itu, Ketua Konvoi Kembara Jalur Gemilang, Hasan Ashaari Abu Bakar, berkata Jabatan Penerangan (JaPen) Perak diberi amanah untuk mengetuai konvoi ini dengan membawa mesej kesedaran untuk menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kita membuat edaran bendera Malaysia dan poster kepada orang ramai di sepanjang hentian konvoi demi menyebarkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda