Skip to main content
Berita TempatanLabuan

KPKK Labuan Tingkat Kefahaman Peranan Pegawai Keselamatan Jabatan

By 28 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan (KPKK) Labuan meningkatkan kefahaman mengenai peranan Pegawai Keselamatan Jabatan melalui Kursus Profesionalisme Pegawai Keselamatan Jabatan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Sanusi Sidek, kursus itu diharap dapat memberi pendedahan tentang kaedah menangani ancaman keselamatan, pengurusan keselamatan fizikal, pengurusan keselamatan dokumen dan pengurusan keselamatan peribadi.

“Kami mengharapkan kursus seumpama ini dapat memberi kefahaman tentang tanggungjawab melaksanakan arahan-arahan keselamatan kerajaan dari masa ke masa.

Sanusi (kanan) menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan sambil disaksikan Azhar (kiri).

Sanusi (kanan) menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan sambil disaksikan Azhar (kiri).

“Ianya juga dapat meningkatkan kefahaman mengenai dasar peraturan dan sistem kawalan keselamatan jabatan dalam memberikan keselamatan perlindungan yang berkesan dan teratur.

“Keselamatan perlindungan amat penting bagi memastikan setiap instalasi, aset dan maklumat Kerajaan berada di dalam keadaan selamat,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan kursus tersebut di Institut Latihan Perindustrian Labuan, petang tadi.

Menurut Sanusi, kemajuan teknologi maklumat adalah merupakan cabaran paling getir dalam pelaksanaan keselamatan perlindungan.

“Penyebaran berita dan maklumat melalui pelbagai gajet serta aplikasi memberikan gambaran sistem maklumat rahsia rasmi dalam persekitaran ICT amat rapuh.

“Pematuhan sepenuhnya kepada peraturan-peraturan keselamatan perlindungan tanpa sebarang kompromi amatlah ditagih.

“Diharapkan ia diterapkan kepada para penjawat awam, pegawai keselamatan dan penolong pegawai keselamatan jabatan bertanggungjawab memastikan perlanggaran seumpanya tidak berlaku,” katanya lagi.

Selain itu, Pejabat KPKK juga katanya mengeluarkan arahan-arahan keselamatan terbaharu sesuai dengan ancaman terkini.

“Diharapkan arahan-arahan ini dilaksanakan di Jabatan masing-masing dan sebarang kemusykilan bagi melaksanakannya boleh berhubung terus dengan Pejabat KPKK bagi mendapatkan khidmat nasihat,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda