Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Luah Taat Setia dalam Pengisian Hari Merdeka

By 29 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)

TAIPING, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Kembara Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2019 tiba di lokasi akhir petang tadi di Dataran Wisma Persekutuan selepas empat hari menjelajah negeri ini.

Menurut Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama Mohamed Akmal Dahalan, semua pihak yang terlibat harus mengambil pendekatan yang bersungguh-sungguh agar pengisian dalam menyambut hari kemerdekaan ke-62 ini dapat meninggalkan kesan terbaik kepada rakyat.

“Inilah saat buat kita semua untuk bersatu dan teguh bersama dalam menumpahkan rasa taat setia dan meluahkan kecintaan buat negara tercinta.

“Sebagai warganegara, kita perlu bersyukur dan bertuah menjadi sebahagian daripada warganegara yang berdaulat dan merdeka kerana dapat mengecap kehidupan yang harmoni dan sejahtera,” ucapnya ketika merasmikan majlis.

Terdahulu, konvoi membuat pelepasan dari Majlis Daerah Kerian sebelum membuat beberapa hentian sepanjang perjalanan termasuk Selama sebelum tiba di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Perak Hasan Ashaari Abu Bakar, yang mengetuai konvoi kembara ini menjelaskan konvoi ini telah menjelajah sejauh 720 km bermula dari Batu Gajah dan berakhir di Taiping.

“Kami telah mengedarkan hampir 25,000 Jalur Gemilang kepada rakyat negeri ini dalam semua acara dan program yang disambut demi misi kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya.

Konvoi ini seterusnya akan menyertai Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak pada 31 Ogos ini di Dataran Warisan, Taiping.

-SH

Tinggalkan komen anda