Laporan/foto: Sherley Emjus/Ahmad Sarujin Seting /Shahvian Muhd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih sepuluh ribu pengunjung hadir memeriahkan
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2019 di perkarangan Jalan Tun Fuad Stephens, pada Sabtu.
Acara yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, diiringi lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.
KKU tersebut merupakan Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Di-raja, Kem Kabota, Tawau dengan kekuatan tiga pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Mejar Muhammad Azizi Otham.
Selepas itu, acara berjalan lalu kontinjen-kontinjen terlibat didahului dengan perarakan masuk pembawa Jalur Gemilang oleh Tentera Darat Malaysia disusuli Tentera laut DiRaja Malaysia yang membawa bendera Sabah seterusnya bendera semua negeri dalam Malaysia.
Tidak ketinggalan menyertai perarakan adalah kontinjen dari pelajar sekolah menengah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan etnik Sabah, jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi dan rasmi.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dengan lagu Malaysia Tanah Airku, Disini Lahirnya Sebuah Cinta dan Malaysia Bersih.
Pada akhir acara perbarisan, pengunjung menyaksikan persembahan khas dari seramai 150 penari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan lintas lalu Pemain Bola Sepak Sabah, Tambadau serta Lintas Hormat (Fly Pass) oleh dua buah helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia.
Dalam pada itu, hadiah bagi para pemenang pertandingan perbarisan bagi enam kategori yang dipertandingkan turut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony.
Bagi kategori sekolah menengah, Kadet Polis Sekolah Menengah (SMK) Taman Ria Telipok muncul sebagai juara sementara bagi kategori IPTA/S dimenangi oleh kontinjen Komander Kesatria UiTM cawangan Sabah.
Turut memperoleh kemenangan adalah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Sabah, Koperasi Pembangunan Desa, Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah, dan Jabatan Kerja Raya.
Hadir sama, isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hashim Paijan, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri.
ER