Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Little Free Library – Pinjam, Pulang dan Derma Buku

By 20 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Little Free Library (LFL) merupakan satu kempen perkongsian bahan bacaan yang kreatif bagi memudahkan orang ramai meminjam dan membaca buku yang disediakan di dalam sebuah kotak, tidak seperti di perpustakaan biasa. Lebih menarik, tiada had masa ditetapkan untuk pemulangan dan tiada denda lewat pemulangan dikenakan.

Menurut Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca Kuala Pilah Syahrul Nizam Saleh, konsep pinjam, pulang dan derma buku ini diterapkan LFL bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.

”Saya berharap agar orang awam dapat menggunakan kemudahan ini sepenuhnya. Masyarakat sekeliling juga harus mengambil peluang menggunakan kemudahan ini sebagai tempat mencari ilmu dan maklumat.

WhatsApp Image 2019-08-19 at 17.10.39

Tunku Zain Al-A’bidin Tuanku Muhriz menyampaikan amanat.

“Semoga usaha ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dalam melahirkan masyarakat berilmu dan suka membaca,” katanya ketika berucap di Majlis Sepetang Bersama Tunku Zain al-A’bidin ibni Tunku Muhriz sempena penyerahan ’Little Free Library’ Peringkat Daerah Kuala Pilah di Perpustakaan Cawangan Kuala Pilah baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tunku Zain turut berharap agar LFL dapat memupuk semangat membaca di dalam generasi muda dan mencambah idea bagi pembentukkan generasi berilmu.

“Sebanyak lapan kawasan telah dipilih oleh pihak perpustakaan bagi menempatkan kotak-kotak tersebut ; Majlis Daerah Kuala Pilah, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Klinik Kesihatan Juasseh, Klinik Kesihatan Kuala Pilah Masjid Al-Firdaus Taman Melang, Masjid Tuan Tulis Ismail Kampung Kuala Talang, Masjid Yam Tuan Raden dan Masjid Pekan Juasseh,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Pada 9 Mac 2019 yang lalu, sebanyak dua kotak LTL telah diserahkan sendiri oleh Tunku Zain, anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan selaku Penaung Rotaract District 3300 (Malaysia) untuk diletakkan di Surau Taman Seri Ulu Bendul dan Taman Rekreasi Ulu Bendul, dan sebanyak 60 naskah buku telah diletakkan di dalam setiap kotak LTL tersebut.

-AK

Tinggalkan komen anda