Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Persiapan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Sarawak Giat Dijalankan

By 6 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 6 Ogos  (Malaysiaaktif) – Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 telah dilancar oleh YAB Perdana Menteri  Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Pahlawan Melaka pada 3 Ogos 2019 baru – baru ini.

Sehubungan itu, iaitu selepas detik tersebut  maka bermulalah sambutan-sambutan di peringkat negeri termasuklah  peringkat daerah.  Bagi negeri Sarawak, majlis sambutan tersebut akan diadakan di dua lokasi iaitu perkarangan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dan Perkarangan Wisma Bapa Malaysia.

Persiapan bagi majlis giat dilakukan oleh para petugas di dua lokasi tersebut. Kerja-kerja menghias kenderaan yang terlibat turut dilakukan di perkarangan pejabat. Di samping itu kerja-kerja menghias kawasan Wisma Bapa Malaysia turut diadakan oleh petugas jabatan termasuk raptai bagi memastikan majlis tersebut berjalan lancar.

Raptai Cadet In Blue di Perkarangan Pejabat Penerangan Negeri

Raptai Cadet In Blue di Perkarangan Pejabat Penerangan Negeri

 Antara kerja-kerja yang giat dilakukan adalah memasang bendera kecil, pelekat kereta, pemasangan Jalur Gemilang di setiap kenderaan,  agihan pakaian, serta peranan pasukan kadet, susunan kenderaan dan raptai.

Antara aturcara bagi majlis tersebut nanti adalah menaikkan Jalur Gemilang diiringi oleh Lagu Negaraku, penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Sebanyak 15 buah kenderaan mengikuti konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) terdiri daripada Jabatan Penerangan, RTM, Finas, Bernama, SKMM, Telekom, Pos, SUPS termasuk dua buah kenderaan  wakil rakyat.

Konvoi ini bergerak ke Wisma Bapa Malaysia dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Menteri Sarawak, kemudian diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang diiringi Lagu Negaraku.

Kemudian acara diteruskan dengan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang oleh Ketua Menteri. Konvoi ini akan bergerak melalui Jalan Astana, Jalan Kulas, Tebingan Kuching, Jalan Abel, Jalan Padungan, Jalan Pending, Jalan Kwong Lee Bank, Jalan Jambatan Tun Sallehudin dan kembali semula ke Jabatan Penerangan Sarawak.

Para petugas berharap sambutan tersebut berjalan lancar dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini  mendapat sambutan positif daripada rakyat melalui promosi dan publisiti yang dijalankan. Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dilaksanakan oleh JaPen adalah untuk  menyemarakkan semangat patriotisme  terhadap negara dalam kalangan rakyat.

Pentas Pelancaran Bulan Kebangsaan  dan Kibar  Jalur Gemilang siap dipasang

Pentas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang siap dipasang

“Saya harap kempen Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini mendapat sambutan yang menggalakan  dalam kalangan rakyat Sarawak,” ujar Andak Uni, salah seorang anggota Cadet in Blue yang terlibat dalam sambutan nanti.

“Mengibar Jalur Gemilang  di premis adalah untuk menunjukkan semangat cintakan negara serta memupuk sifat kenegaraan,” kata Juliana, salah seorang daripada Urusetia Sambutan.

Tinggalkan komen anda