
Laporan / foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 29 Ogos (Malaysiaaktif) ā Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira sejam untuk bermesra sambil membuat kuih bulan bersama pelajar-pelajar Kolej Komuniti Selayang, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tiba jam 10 pagi diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching kemudiannya membuat kuih bulan yang merupakan antara kursus pendek yang ditawarkan di Kolej Komuniti Selayang untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
āIni merupakan satu program yang diwujudkan Kementerian Pendidikan supaya golongan OKU dapat mencari peluang pekerjaan dan berdikari selepas menamatkan pengajian di Kolej Komuniti.
āProgram ini berjaya kerana 100 peratus lepasan Kolej Komuniti dapat diserapkan dalam pasaran tenaga kerja di negara ini,ā katanya yang mengakui kali pertama membuat kuih bulan.

(Dari kanan) Teo Nie Ching dan Wan Azizah menyapu putih telur dalam proses membuat kuih bulan di Kolej Komuniti Selayang, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Selayang, Abdul Razak Sabtu berkata, kehadiran Timbalan Perdana Menteri menyuntik semangat pelajar-pelajarnya yang merupakan kali pertama pemimpin kedua tertinggi hadir di kolej kemahiran tersebut.
āIni merupakan kali pertama beliau hadir ke sini dan ianya sesuatu yang membanggakan kami kerana ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Kolej Komuniti Selayang kepada masyarakat. Lebih 600 pelajar teruja bersua dengan Timbalan Perdana Menteri.
āKolej Komuniti Selayang merupakan salah satu daripada institusi di bawah Kementerian Pendidikan yang menawarkan pengajian di peringkat sijil kepada pelajar OKU yang berminat dalam bidang perhotelan dan masakan,ā katanya.
-NAZ