Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

“Wilayahku” Perluaskan Liputan Pembaca

By 20 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, telah melancarkan Portal Wilayahku bagi memperluaskan lagi liputan pembaca dan kebolehcapaian maklumat mengenai perkembangan aktiviti warga ibu kota ke seluruh negara.

Menurut Khalid Samad, portal berita ini merupakan susulan Akhbar Wilayahku yang telah mendapat sambutan baik daripada warga ibu kota termasuk warga Labuan sejak pelancarannya pada 4 Januari lalu.

“Akhbar Wilayahku yang bermula dengan terbitan 20,000 naskhah telah diterima baik dan mendapat perhatian warga kota sehinggalah kini jumlah cetakannya sebanyak 50,000 naskhah seminggu setanding dengan akhbar harian sedia ada yang diedarkan di seluruh Wilayah Persekutuan,” ujar Khalid ketika merasmikan Portal Wilayahku di Menara Seri Wilayah, di sini semalam.

Khalid (kanan) bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim (kiri) membuka portal Wilayahku menggunakan telefon pintar.

Khalid (kanan) bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim (kiri) membuka portal Wilayahku menggunakan telefon pintar.

Portal tersebut turut menampilkan lebih banyak ruang berita dan beberapa elemen baharu seperti video serta pautan rangkaian media sosial sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini di mana maklumat-maklumat dapat disebarkan secara teratur kepada semua lapisan masyarakat dengan lebih cepat dan mudah.

“Kehadiran portal seumpama ini sangat penting bagi sesebuah kementerian susulan masyarakat kini sering terdedah dengan penyebaran berita-berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab khususnya melalui platform media sosial yang sukar ditangani.

“Dengan adanya portal Wilayahku ini, Kementerian Wilayah Persekutuan dapat memberi maklumat yang sahih, tepat dan lebih tersusun kepada masyarakat,” jelas Khalid lagi.

Akhbar Wilayahku yang menampilkan imej akhbar rakyat juga boleh dimanfaatkan oleh semua jabatan/agensi kerajaan dalam menyampaikan inisiatif atau usaha masing-masing secara langsung kepada masyarakat di samping mempromosikan program atau aktiviti setempat.

-SH

Tinggalkan komen anda