Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Jangan Hanyut Dibuai Kemajuan – Rozman

By 20 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Rakyat diingatkan untuk tidak terlalu hanyut dibuai dengan kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai tanpa dihiasi dengan pemikiran yang menggambarkan peningkatan jiwa dan rohani.

Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, cabaran generasi kini untuk mengisi kemerdekaan adalah berbeza dengan generasi terdahulu yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Adakah generasi kini memenuhi kriteria sebagai rakyat yang menghargai dan menghayati kemerdekaan negara, adakah kerana semakin jauh satu generasi dengan tarikh kemerdekaan, maka semakin menurunlah semangat dan penghayatan tentang pentingnya kemerdekaan terhadap sesebuah negara?

“Tidak kurang juga yang berfikiran kemerdekaan itu ialah kebebasan individu yang berorientasikan pemikiran liberal, tidak terikat kepada kepentingan kelompok, puak, suku dan keturunan.

Rozman bersama-sama tetamu jemputan bergambar kenangan dengan para peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Rozman bersama-sama tetamu jemputan bergambar kenangan dengan para peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

“Perubahan zaman dan teknologi komunikasi, merubah landskap pemikiran manusia untuk cepat melatah, lalu yang tidak benar dikatakan benar, yang benar dikatakan sebaliknya,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan [email protected] 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Tambah Rozman, belum terlambat untuk rakyat bangkit dan mula menerapkan pemikiran merdeka yang sebenar.

“Walau apa jua rintangan yang mendatang, belum terlambat untuk kita semua terutama kita warga Labuan untuk bangkit dan mula menerapkan pemikiran merdeka yang sebenar mengikut acuan kita sendiri berlandaskan agama, nilai budaya yang positif dan pemikiran yang maju serta berhemah,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat bersama-sama menyahut hasrat kerajaan untuk memupuk semangat cintakan negara dan mengeratkan lagi jalinan perpaduan.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

“Bersesuaian dengan tema Hari tahun ini iaitu “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”, saya mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama menyahut hasrat kerajaan memupuk semangat cintakan negara dan mengeratkan lagi jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan rakyat yang mempunyai jati diri dan berintegriti,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman, berkata Wilayah Persekutuan Labuan juga tidak ketinggalan untuk menyahut seruan dengan mengadakan beberapa pengisian bagi sama-sama menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan.

“Berkat kerjasama agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, rakan media dan pelbagai pihak kita berjaya mengadakan program-program antaranya ialah Kembara Merdeka Jalur Gemilang, [email protected], Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan serta pertandingan Pidato Kenegaraan yang melibatkan penyertaan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya yakin dengan kerjasama dan sokongan yang berterusan daripada semua yang ada di sini khususnya dan seluruh warga Labuan umumnya, sudah pasti kempen dan program yang dijalankan akan mencapai matlamatnya,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda