Skip to main content
MA

Zahirkan Kreativiti Dalam Menyambut Hari Kebangsaan

By 29 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 29 Ogos (Malaysiaaktif ) – Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan merupakan program yang dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan memberi fokus utama kepada suasana keceriaan sambutan kemerdekaan serta kreativiti pengibaran Jalur Gemilang di kampung, bangunan, premis perniagaan dan sebagainya untuk menyambut Hari Kebangsaan 2019.

Di Rembau, Sekolah Kebangsaan (SK) Kundur, SK Cengkau dan SK Seberang Batu Hampar telah menyahut cabaran untuk menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019 ini.

Ketiga-tiga sekolah ini telah berjaya menarik perhatian pegawai penilai semasa lawatan penilaian peringkat Daerah Rembau.

Di SK Kundur, pihak sekolah telah mendirikan pintu gerbang yang diperbuat daripada buluh dan dihiasi sepenuhnya dengan Jalur Gemilang.

Manakala di SK Cengkau pula, pintu gerbangnya dihiasi dengan Jalur Gemilang yang membentuk struktur ayat tema Hari Kebangsaan 2019 iaitu “Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih” yang diperbuat daripada anyaman daun.

Sementara itu di SK Seberang Batu Hampar, replika bangunan Parlimen dan rumah Minangkabau menjadi tarikan ditambah pula replika tersebut dibina unik dengan dihiasi sepenuhnya dengan Jalur Gemilang.

Dalam pada itu juga, replika Menara Bekembar Petronas yang direka menggunakan botol air dan mural dinding telah dihasilkan oleh ibu bapa para pelajar sekolah berkenaan.

Pegawai Penerangan Daerah Rembau merangkap Pegawai Penilai pertandingan, Malini Yunus berasa amat kagum melihat kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh seluruh warga sekolah termasuk ibu dan bapa dalam menghias kawasan sekolah.

“Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak membuktikan bahawa semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia masih kukuh dan jitu,” ujarnya ketika ditemui, disini.

Sementara itu, Guru Besar SK Cengkau, Jamilah Jabar berkata aktiviti menghias sekolah ini merupakan acara tahunan sekolah dalam menyambut Bulan Kebangsaan.

“Setiap tahun pihak sekolah akan mengibarkan Jalur Gemilang dan membina mercu tanda kebangsaan kita di seluruh sekolah bagi menunjukkan rasa sayang kita kepada negara tercinta ini,” katanya.

-AK

Tinggalkan komen anda