Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMA

50,264 Pelabur SAS Terima Interim Pertama Pada 2.4 Peratus

By 12 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/ Jonny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 12 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 50,264 pelabur bakal menerima pengagihan Pendapatan Interim Pertama Saham Amanah Sabah (SAS) untuk tahun 2019 pada kadar 2.4 peratus atau 2.40 sen se unit bersih.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, SAS telah berjaya memperolehi pendapatan kasar sejumlah RM36,017,587 setakat 6 September lepas.

“Pengagihan Pendapatan interim ini akan dibayar kepada 50,264 pelabur terdiri daripada 42,746 (85.04%) pelabur individu, 7,317 (14.56%) pelabur di bawah skim Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), 151 (0.30%) adalah pelabur melalui pinjaman bank dan 50 (0.10%) pelabur korporat.

Shafie (duduk, kiri) semasa mengumumkan pengagihan Pendapatan Interim Pertama Saham Amanah Sabah (SAS) untuk tahun 2019.

Shafie (duduk, kiri) semasa mengumumkan pengagihan Pendapatan Interim Pertama Saham Amanah Sabah (SAS) untuk tahun 2019.

“Jumlah ini menghasilkan kadar pulangan pendapatan sebanyak 7.41% berdasarkan Nilai Aset Bersih SAS pada 2 Januari 2019, iaitu RM0.3240 dengan membabitkan pembayaran wang tunai sejumlah RM29,552,976 bersih berdasarkan kepada bilangan unit-unit SAS yang dipegang oleh para pelabur sebanyak 1,231,374,000 pada 6 September lalu.

“Pendapatan ini diperolehi daripada sumber-sumber berikut iaitu, Pelaburan SAS dalam Pasaran Saham sebanyak 77.60%; Penerimaan Dividen sebanyak 14.04% dan Pasaran Kewangan sebanyak 8.36%,”ujarnya.

Menurut Shafie, beliau berpuas hati dengan prestasi SAS yang positif disebabkan pengurusan kewangan berhemah dengan strategi pelaburan yang betul.

“Walaupun persekitaran pelaburan yang mencabar dengan pertumbuhan sederhana serta prestasi pasaran global dan domestik yang terjejas, kami berpuas hati kerana dapat terus mengekalkan pulangan kepada pemegang unit SAS.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah SAS bergambar kenangan bersama Shafie (empat dari kiri).

Ahli-ahli Lembaga Pengarah SAS bergambar kenangan bersama Shafie (empat dari kanan).

“Selama dua puluh lima tahun beroperasi, SAS telah mengagihkan pendapatan tunai sebanyak 22 kali melibatkan pembayaran sejumlah RM643,231,647 atau 90.57 sen se unit atau 90.57 peratus termasuk satu pengagihan berbentuk unit pelaburan semula pada kadar 0.40 sen se unit (0.40%),” jelasnya.

Dalam pada itu, Shafie turut menyeru bakal-bakal pelabur dan pelabur sedia ada terutamanya agensi kerajaan negeri yang mempunyai kecairan untuk melabur, tampil ke hadapan bagi melanggan unit SAS.

Tambah Shafie, Saham Sabah Berhad selaku pengurus Skim SAS akan terus berusaha untuk menjana pulangan yang berpatutan selaras dengan objektif pelaburannya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi SAS, Datuk Dr Makin @Marcus Mojigoh dan Naib Pengerusi SAS, Datuk Naim Ahmad serta ahli-ahli Lembaga Pengarah SAS.

ER

Tinggalkan komen anda