Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Bersama Menjaga Malaysia Agar Sentiasa Aman dan Makmur

By 4 September 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka Peringkat Daerah Rembau pada malam 30 Ogos yang lalu telah disambut meriah oleh masyarakat setempat.

Sambutan yang penuh gilang gemilang itu diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Undang Haji Adnan (SMKDUHA) dan dihadiri oleh masyarakat sekitar Rembau bagi menzahirkan semangat kemerdekaan.

Sambutan tersebut lebih bermakna lagi dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Dato Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.

Dato Undang telah diiringi oleh 80 buah motosikal berkuasa tinggi sejauh 10 kilometer dari kediaman rasminya ke lokasi majlis sambutan.

WhatsApp Image 2019-09-04 at 10.19.29

Datuk Undang bersama tetamu yang hadir.

Menurut Dato Adat Balai Undang Rembau, Abdul Razak Mohd Yassin, setiap warganegara perlu menghayati erti kemerdekaan dengan penuh makna.

“Kita amatlah berharap agar Malaysia yang dicintai ini akan terus bebas dari dibelenggu penjajahan daripada pelbagai aspek seperti ideologi, ekonomi, budaya yang songsang dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Tambah Razak lagi, rakyat Malaysia harus mengelakkan perpecahan dan tidak mengeruhkan keadaan jika terdapat provokasi dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, guru SMKDUHA Azmi Ali, menyeru agar seluruh rakyat bersama-sama menjaga keharmonian bumi Malaysia.

“Sempena kemerdekaan yang ke-62, kita haruslah menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan perbalahan antara satu sama lain agar kita sentiasa hidup aman dan sejahtera,” kata Azmi ketika ditemui.

-AK

Tinggalkan komen anda