Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Kurangkan Aktiviti Luar Elak Jerebu

By 21 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Nurazreen Abd Rahman/ Ariza Mohammed Zaki (Seberang Perai Utara)

KEPALA BATAS, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Perubahan angin serta bacaan indeks pecemaran udara(IPU) tidak sihat dalam kategori 101-200 akibat jerebu telah menyebabkan 398 buah sekolah melibatkan 239, 839 pelajar di seluruh negeri Pulau Pinang terpaksa ditutup selama 2 hari. Sebanyak 93 buah sekolah daripada Daerah Seberang Perai Utara (SPU) akur kepada arahan yang telah dikeluarkan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) . Guru-guru telah diminta untuk memaklumkan  penutupan hari sekolah kepada waris-waris untuk mengelakkan murid-murid datang ke sekolah pada keesokan harinya.

Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara telah mengambil langkah membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana  untuk memantau situasi IPU bagi daerah Seberang Perai Utara. Pegawai Daerah SPU, Zulkifli Rashid telah memanggil agensi seperti  Jabatan Alam Sekitar, APM, Pejabat Kesihatan dan Pejabat Penerangan Daerah untuk turut membantu membuat hebahan mengenai situasi bencana jerebu.

3 unit siaraya hebahan bergerak Daerah SPU bersama dengan  6 pegawai penerangan telah digerakkan ke 3 lokasi Parlimen iaitu Parlimen Kepala Batas, Parlimen Tasek Gelugor dan Parlimen Bagan. Tumpuan hebahan adalah dikawasan perumahan, kawasan reakreasi, kawasan pasar malam serta di kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan kebanyakan orang ramai.

Hebahan unit bergerak di kawasan tumpuan

Hebahan unit bergerak di kawasan tumpuan

Dalam hebahan tersebut, pihak Pejabat Penerangan Daerah telah memaklumkan kepada orang ramai supaya mengelakkan melakukan pembakaran secara terbuka. Jika terdapat tanda-tanda mengalami masalah kesihatan seperti sakit mata, batuk, selsema atau mengalami kesukaran bernafas, pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan  segera di hospital atau klinik  berdekatan. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengurangkan dari melakukan aktiviti luar di kawasan terbuka serta memperbanyakkan minum air dan memastikan pintu dan tingkap kediaman  dan premis  sentiasa ditutup.

Hebahan unit bergerak di kawasan tumpuan

Hebahan unit bergerak di kawasan tumpuan

Selain itu juga dinasihatkan juga kepada pengguna jalan raya untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) serta menyalakan lampu kenderaaan apabila jarak penglihatan semakin  terhad.

Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentasi sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, bahagian barat Sarawak dan sekitar Sabah.

Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok, ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.

-II-

Tinggalkan komen anda