Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama

By 25 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Program  Keselamatan Dalam Komuniti Daerah Batu Pahat anjuran Pusat Khidmat ADUN Penggaram telah diadakan baru-baru ini bagi memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan maklumat terkini tentang keselamatan dalam komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Penggaram, Gan Peck Cheng berkata program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan kerjasama masyarakat dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan khususnya di daerah Batu Pahat.

Pameran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pameran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebagai wakil rakyat saya berasa bertanggungjawab dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat yang secukupnya tentang keselamatan dalam komuniti kerana masyarakat merupakan mata dan telinga dalam menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan selamat.

“Sesi penerangan yang disampaikan oleh pihak Polis merupakan jambatan antara masyarakat dengan pihak kerajaan dalam mengeratkan hubungan di samping menunjukkan komitmen polis dalam membanteras jenayah dan menjaga keselamatan masyarakat setempat,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Dewan Jubli Intan Batu Pahat.

Para pelajar sekolah mendengar taklimat keselamatan dari pihak PDRM.

Para pelajar sekolah mendengar taklimat keselamatan dari pihak PDRM.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim turut memaklumkan bahawa Batu Pahat merupakan daerah yang selamat serta terkawal di mana rakyat tidak perlu berasa bimbang dan resah kerana pihak PDRM sentiasa komited dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terjaga.

“Kita dapati pada tahun ini kadar jenayah di daerah Batu Pahat termasuk kawasan pentadbiran Balai Polis Batu Pahat berada dalam keadaan baik dan selamat berbanding pada tahun-tahun yang lalu dan untuk makluman semua pada tahun ini pihak polis telah berjaya membuat tangkapan tertinggi malah Ketua Siasatan Bahagian Batu Pahat telah dianugerahkan sebagai Ketua Siasatan Jenayah terbaik di Malaysia bagi tahun 2018.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim ketika menyampaikan ucapan sebelum sesi dialog bersama masyarakat setempat.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim ketika menyampaikan ucapan sebelum sesi dialog bersama masyarakat setempat.

“Pada tahun ini, kita berjaya mengekalkan prestasi di mana mengikut statistik kes tangkapan pada tahun ini telah mencapai 69.93 peratus daripada jumlah yang dilaporkan, 49 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah dan ini merupakan satu kejayaan kepada pihak PDRM,” ujarnya.

“Kes kecurian motorsikal antara kes yang paling tinggi dilaporkan di daearah Batu Pahat dan daripada siasatan yang dibuat kita dapati kes-kes yang dilaporkan di Batu Pahat adalah disebabkan oleh kelalaian pengguna atau pemilik motosikal itu sendiri di mana kebanyakan motosikal diletakkan tanpa kawalan dan terdapat kes pemilik meninggalkan kunci di motosikal mereka.

ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng menyampaikan ucapan dalam Majlis Keselamatan Dalam Komuniti.

ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng menyampaikan ucapan dalam Majlis Keselamatan Dalam Komuniti.

“Selain itu, kes pecah rumah juga merupakan antara kes yang banyak dilaporkan melibatkan kawasan Yong Peng dan Ayer Hitam namun statistiknya semakin menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan tindakan pantas pihak polis dalam menyelesaikannya,“ tambahnya lagi.

Pada program tersebut turut diadakan sesi dialog bersama Ketua Polis Batu Pahat yang memberi peluang kepada masyarakat bertemu secara bersemuka sambil berkongsi idea mahupun menyampaikan maklumat berkaitan permasalahan keselamatan dalam komuniti.

Turut diadakan pameran agensi dan pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di mana VSP merupakan platform terbaik untuk masyarakat membantu pihak polis dalam memerangi dan mencegah jenayah.

Dalam pada itu, taklimat keselamatan kepada murid-murid sekolah rendah turut diadakan bagi memberi penerangan kepada para pelajar sekolah tentang kepentingan keselamatan dalam komuniti yang telah disampaikan oleh Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim, Ketua Polis Balai Batu Pahat, Inspektor Mohd Rozi Abdullah dan Ketua Operasi Batu Pahat, Abd Ghani Siraj.

Turut hadir, Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Kawasan Senggarang, Ir.Khairuddin A.Rahim, Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat.

-NI-

Tinggalkan komen anda