Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan

By 25 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Salleh bin Haji Immun/Salawatie Haji Sarkawi/Meriah Abdul Hamid (Sarawak)

SAMARAHAN, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Kehadiran lebih kurang 1,500 orang terdiri daripada para pelajar, ibu bapa dan guru ke Program Merdeka@Komuniti bersempena Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan SK Wira Jaya, Samarahan ternyata menghadirkan suasana yang penuh ceria dan meriah.

Pelbagai pengisian acara seperti pertandingan basikal berhias, pertandingan pakaian kreatif dan pakaian tradisional, pertandingan mewarna, deklamasi puisi, bacaan Ikrar Rukun Negara dan banyak lagi turut mengambil perhatian orang ramai ketika menghadiri program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Samarahan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Wira Jaya, Samarahan pagi ini.

Wajah ceria adik-adik pelajar SK Wira Jaya Samarahan

Wajah ceria adik-adik pelajar SK Wira Jaya Samarahan

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Mohadi Mobin, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan. Mohadi dalam ucapannya memuji peranan yang dimainkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyemai semangat patriotisme serta jati diri dalam masyarakat khususnya para pelajar di peringkat sekolah rendah melalui program yang dianjurkan. Dengan adanya semangat patriotisme dan jati diri yang tinggi secara langsung melahirkan generasi masa depan yang mampu menyumbang ke arah kemakmuran negara.

“Tema Hari Kebangsaan 2019, Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih sememangnya amat bertepatan kerana ianya mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab sekaligus mengkehendaki rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang kaum dan agama masing-masing mempunyai peranan untuk membangunkan negara agar terus dipandang tinggi serta disegani,”

“Kepimpinan Tun Dr. Mahathir dalam tadbir urus negara amatlah dipuji dan kita yakin misi dan visi kepimpinan beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju serta berdaya saing akan tercapai dengan jayanya,” tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, beliau mahu agar generasi masa kini tidak melupakan jasa yang telah dicurahkan oleh pemimpin terdahulu kerana sumbangan pemimpin dahulu amat bermakna sehingga mampu memberikan impak positif dari segi keharmonian serta perpaduan yang kini dinikmati semua rakyat Malaysia.

Tetamu Kehormat bersama pelajar dan hadirin menyanyikan lagu Jalur Gemilang

Tetamu Kehormat bersama pelajar dan hadirin menyanyikan lagu Jalur Gemilang

Mohadi  turut berharap agar program sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa serta diperhebatkan lagi untuk memastikan generasi masa kini mensyukuri nikmat erti sebuah kemerdekaan yang dicapai.

“Terima kasih Jabatan Penerangan Malaysia kerana berjaya menyelaraskan suatu program yang amat baik dan berkesan dalam memupuk semangat cintakan negara dalan suasana Bulan Kemerdekaan yang disambut di seluruh negara bermula sejak bulan Ogos hingga September. Saya berharap kolaborasi Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Pendidikan serta sekolah-sekolah di sekitar Samarahan akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tinggalkan komen anda