Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Tuah Berbudi Pada Tanah

By 25 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:  Latifah Salleh/Nur Ezzaty (Muar)

MUAR, 25 Sept ( Malaysiaaktif) –  Bak kata pepatah berbudi kepada tanah tentu mendatangkan hasil lumayan jelas membuktikan sektor pertanian antara sektor yang mampu menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan secara tidak langsung dapat membasmi kemiskinan di kalangan para petani.

Dahulu, sektor pertanian pernah menjana pendapatan kepada negara sebelum kebangkitan era kegemilangan perindustrian dan Malaysia telah berjaya menghasilkan pelbagai tanaman komersial di mana negeri Johor antara penyumbang tanaman komersial antaranya di daerah Kulai yang terkenal dengan penanaman buah nanas, kelapa sawit dan cili sentil.

Pekerja ladang sedang memetik cili sentil.

Pekerja ladang sedang memetik cili sentil.

Cili padi merupakan antara bahan masakan utama dan terkenal dalam kalangan orang Asia dan walaupun saiznya kecil tetapi cili padi mempunyai pelbagai khasiat disebalik namanya, antaranya kaya dengan antioksidan yang membantu meningkatkan kadar metabolisme tubuh badan selain membantu kelancaran peredaran darah serta mampu menurunkan kadar kolestrol di dalam badan.

Bagi pengusaha tempatan cili padi atau lebih dikenali sebagai cili sentil, Roslan Abdul Majid, 56 berkata pada permulaannya beliau mula menanam 40 batang cili sentil hanya sekadar suka–suka bagi mengisi masa lapang sahaja dan kini penanaman ini telah menjadi sumber pendapatan utama kepada beliau sekeluarga.

Cili sentil yang telah dipetik oleh pekerja di ladang.

Cili sentil yang telah dipetik oleh pekerja di ladang.

“Setelah bersara daripada perkhidmatan awam saya mula berjinak-jinak dengan bidang pertanian sekadar mengisi masa lapang sahaja.

“Namun begitu saya tidak menyangka hobi tersebut mampu menjana pendapatan dan sekarang saya memiliki beberapa bidang tanah yang khusus untuk penanaman cili sentil ini,” ujar beliau ketika ditemui di ladang cili sentil miliknya di daerah Muar.

Pada tahun 2015, beliau menanam cili sentil secara besar-besaran dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di mana ladang cili sentil ini mempunyai lebih kurang 3000 polybag.

Tambahnya lagi untuk mendapatkan kualiti cili sentil yang bermutu, beliau mengambil inisiatif untuk  menghasilkan baja dan vitamin sendiri tanpa menggunakan racun kimia.

Menurut Norida Mohd Diah, 58, salah seorang pekerja di ladang cili sentil berkata beliau telah mula bekerja sebagai pemetik cili sentil ini sejak awal penanaman lagi dan pekerjaan ini secara tidak langsung membantunya menambah pendapatan keluarga.

“Jika cuaca baik sepanjang hari, cili sentil yang dipetik boleh melebihi 5 kilogram untuk setiap seorang pekerja dan apa yang lebih menarik lagi, upah dibayar berdasarkan kuantiti berat cili sentil yang telah dipetik pada hari tersebut,” ujarnya lagi.

Kebiasaanya hasil tanaman cili sentil ini akan dikumpul selama tiga hari sebelum dijual kepada pengusaha tempatan dan ia boleh didapati di pasar tani dan juga kedai-kedai sekitar pekan Muar.

-NI-

Tinggalkan komen anda