Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
KUCHING, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Dalam mendepani era digital yang semakin mencabar, kerajaan sentiasa berusaha dalam memastikan impak daripada ekonomi digital adalah seiring dengan keperluan dan kehendak semasa serta dapat dinikmati setiap golongan rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, berkata dengan pelbagai inisiatif e-Kerajaan seperti e-Khidmat, e-Filing dan sebagainya yang memberi kemudahan kepada rakyat diharapkan rakyat mengambil peluang untuk memanfaatkan penggunaannya dengan sewajarnya.
“Sebenarnya, semua aspek kehidupan kita telah mula menuju ke arah digital dengan contoh paling ketara adalah penggunaan telefon pintar yang telahpun membuka akses kepada kehidupan digital.
“Kementerian ini amat menyedari keperluan dalam meningkatkan usaha mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan Malaysia mampu menghubungkan rakyatnya, perniagaan dan industri ke dunia global,” katanya sempena Program Merdeka@Komuniti di Balai Raya Kampung Seratau, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Gobind turut memuji keharmonian dan kedamaian yang dinikmati ketika ini memperlihatkan persefahaman dan perpaduan bersama rakyat Malaysia.
“Walau apa pun isu yang timbul, kita akan tetap bersatu padu dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara dicapai dengan aman dan muhibah.
“Persefahaman yang telah dipupuk sejak merdeka inilah yang mampu menjayakan agenda-agenda nasional yang bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat dan negara,” katanya lagi.
-SH