
Laporan /Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Gua Damai yang terletak di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves sering menjadi tumpuan peminat sukan lasak seperti terjunan ekstrem melakukan latihan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata kemudahan fasiliti dan keunikan Gua Damai yang tersendiri menjadikan ia pilihan utama pengemar aktiviti terjunan bebas dari dalam dan luar negara.
“Di sini penerjun terpaksa mendaki laluan antara 15 hingga 20 minit terlebih dahulu untuk sampai ke puncak sebelum melakukan terjunan bebas.
“Berbeza dengan lokasi lain yang boleh dilalui menggunakan kenderaan untuk ke kawasan terjunan. Ini merupakan lokasi kedua selepas Menara Alor Setar dan selepas itu ke Sibu sebelum melakukan terjunan di Menara Kuala Lumpur pada 26 September ini” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Gua Damai Base Jump kali ke-12 di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves di sini hari ini.
Seramai 24 peserta mengambil bahagian dari lapan buah negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Belanda dan Indonesia, Poland, Estonia dan New Zealand yang melakukan terjunan bebas daripada ketinggian 96 meter.

Aksi salah seorang peserta terjunan bebas dalam Program Gua Damai International Base Jump yang disertai 24 peserta dalam dan luar negara.
Turut hadir, EXCO Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim dan Timbalan Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Dr Juhari Ahmad.
Sementara itu, seorang penerjun, Mohd Feirkhan Razali, 42, berkata Gua Damai merupakan lokasi yang dibenarkan melakukan Base Jump
“Gua Damai merupakan tempat terbaik untuk peminat yang baru mencuba sukan terjunan bebas ini. Peserta perlu memanjat laluan dalam gua yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat.
“Saya mengambil masa hampir 30 minit untuk sampai ke puncak dan melakukan terjunan. Saya pernah saksikan seorang lelaki berusia 63 tahun berjaya naik ke puncak dan berjaya terjun,” katanya yang bertugas sebagai eksekutif sebuah syarikat di Ipoh.
Peserta dari Indonesia, Dadang Hasanudin, 55, menyatakan penyertaan beliau di Gua Damai merupakan terjunan ke 11 kali untuk melakukan latihan terjunan bebas.
“Saya memulakan belajar terjunan bebas di Gua Damai ini kerana lokasi ini sangat menarik dan cantik berhampiran dengan ibu kota.
“Sukan terjunan bebas sebegini tidak dibenarkan di Indonesia, jadi kita perlu lakukan di luar negara dan Gua Damai adalah pilihan kami,” katanya yang berasal dari Bandung.
-NAZ