Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Rakyat Labuan diseru untuk melipatgandakan usaha bagi menambah baik daya saing melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama.
Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, berasaskan wawasan tersebut usaha perlu dilipat gandakan demi kesaksamaan serta kesejahteraan rakyat agar terus meningkat dan terjamin dalam dunia yang kompetitif ini.
“Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang dibentuk oleh kerajaan adalah untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, bermaruah serta merdeka dan ia tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.
“Wawasan ini juga adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berterusan membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.
“Ianya selaras dengan Rangka Pembangunan Labuan 2030 yang menetapkan hala tuju transformasi holistik pulau bebas cukai dengan memberikan tumpuan utama kepada pembangunan ekonomi, sosial dan pembangunan prasarana bagi menjadikan labuan sebagai sebuah bandar pintar dan lestari,” katanya dalam Perutusan Hari Malaysia, semalam.
Malaysia katanya melalui kisah perjalanan yang berwarna-warni iaitu bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah sehingga menjadi negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.
“Sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.
“Labuan yang pada ketika itu di bawah pentadbiran kerajaan negeri Sabah sehinggalah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 yakni selepas 21 tahun penubuhan Malaysia, turut merasa kesan kemajuan dan pembangunan negara yang dicintai ini,” katanya lagi.
Tambahnya, tahun 2019 merupakan masa yang paling sesuai untuk rakyat Labuan melaksanakan tanggungjawab besar dengan kata kesepakatan yang tinggi, usaha gigih penuh iltizam dan semangat perpaduan yang kukuh demi menjadikan malaysia tercinta ini sebagai negara maju sepenuhnya.
“Bersama-samalah kita menyemarakkan rasa cinta dan bangga sebagai anak Malaysia dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik dan menyemaikan titik persamaan demi malaysia tercinta,” tambahnya.
-SH