Laporan/foto: Norlydiana Ishak (Putrajaya)/JPS Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Ekspedisi Sumber Air Negara 2019 yang memberi pendedahan kepada para media tentang kepentingan sumber air, ekosistem akuatik dan alam sekitar telah berakhir Khamis lalu.
Ekspedisi empat hari yang berlangsung bermula 9 September lalu menyediakan platform dan ruang penyelidikan rakan akademik The International Hydrological Programme (IHP) Malaysia serta memberi peluang merasai dan memahami kepentingan penjagaan dan pemuliharaan sumber air dan alam sekitar demi kelangsungan kehidupan masa hadapan.
Pengarah Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Mohd Azmi Ismail, berkata sumber air dijangka akan berdepan dengan pelbagai isu dan ancaman seperti banjir, kemarau dan pencemaran yang memerlukan tindakan pencegahan dan pemuliharaan.
“Oleh yang demikian pengurusan air yang cekap dan berkesan perlu bagi memastikan kelestarian sumber air negara dan pihak kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran terutamanya Bahagian Sumber Air dan Hidrologi melaksanakan National Water Balance System (NAWABS) yang dilihat dapat membantu mengawal imbangan sumber air di negara kita.
“Usaha-usaha membina keupayaan dan capaian kesedaran sumber air iniĀ perlu diwujudkan dan diperluaskan lagi kepada semua lapisan masyarakat agar tersemat dan lahir dalam jiwa nurani mereka akan rasa cinta pada air yang bersih dan persekitaran yang harmonis,” katanya ketika ditemui semasa majlis penutup program berkenaan, di sini kelmarin.
Azmi turut berharap melalui program ini peserta ekspedisi dapat melakukan perubahan minda, sikap dan kefahaman serta meningkatkan keprihatinan tentang isu, cabaran dan peluang dalam sumber air negara kita dalam kalangan rakan komuniti dan juga keluarga.
“Semoga para peserta ekspedisi mendapat manfaat sebaiknya selama berada di sini dan memainkan peranan aktif dalam memberi kesedaran akan kepentingan memelihara sumber airĀ kepada orang ramai,” katanya lagi.
Para peserta ekspedisi telah menimba pelbagai pengalaman berharga sepanjang program berlangsung antaranya menerokai Tasik Kenyir, mendaki Gua Bewah, lawatan ke Santuari Kelah, melawat Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir dan Stesen Jana Elektrik Kenyir sertaĀ menyertai aktiviti pelepasan anak-anak tuntung ke Sungai Terengganu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Ir. Saiful Azmi Suhaili, berkata program ini merupakan platform terbaik dalam memberi kesedaran dan penyampaian maklumat berkaitan sumber air negara yang melibatkan pendidikan kesedaran kepada para peserta tentang cara pemuliharaan serta perlindungan sumber air.
“Kita mewariskan air yang bersih, air yang banyak dan air yang selamat seperti mana yang kita miliki sekarang untuk anak-anak dan cucu cicit kita nanti.
“Saya berharap program ini dapat memupuk kesedaran dalam melaksanakan pengurusan air secara bersepadu dan teratur dan penglibatan para peserta dalam program ini juga secara tidak langsung menjadi agen perubahan dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat setempat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Ekspedisi Sumber Air Negara, di sini.
-SH