Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Hijrah Bukan Sekadar Berpindah Ke Tempat Lain – MB Johor

By 2 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Hijrah adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam yang membolehkan sebuah perancangan dan pengaturan strategi dapat disusun secara lebih berkesan sekali gus membawa manfaat buat serata umat.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, penghayatan peristiwa Hijrah bukanlah sekadar berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi menjiwai perjuangan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam melebarkan syiar Islam di mercu dunia demi kesejahteraan umat.

“Rasulullah SAW juga telah membentuk kesatuan ummah yang mantap dan kukuh yang akhirnya berjaya menubuhkan sebuah negara Islam yang berjaya dihormati oleh semua,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Johor di sini, kelmarin.

Penghayatan peristiwa Hijrah bukanlah sekadar berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi menjiwai perjuangan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam melebarkan syiar Islam – Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Penghayatan peristiwa Hijrah bukanlah sekadar berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi menjiwai perjuangan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam melebarkan syiar Islam – Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Tosrin Jarvanthi, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Datuk Md Rofiki A. Shamsuddin.

Dr Sahruddin berpendapat, tema sambutan Maal Hijrah kali ini iaitu ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’ adalah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam membentuk negara yang bersatu padu dan aman.

“Pemilihan tema ini adalah berdasarkan usaha kerajaan yang menginginkan ummah bersatu dan rakyat mengamalkan nilai-nilai murni tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Ribuan hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru kelmarin.

Ribuan hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru kelmarin.

Beliau menambah, ia juga merupakan hasrat utama kerajaan bagi memastikan tiada persengketaan dan perbalahan berlaku dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Ishak Abdul Hamid, 77, bekas hakim Mahkamah Rendah Syariah telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Johor 2019.

Beliau menerima hadiah RM10,000, plak, sijil penghargaan dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor.

Turut diadakan adalah penyampaian anugerah Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita Lelaki Johor kepada Muhammad Azri Ganesh Abdullah dari daerah Johor Bahru dan Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita Perempuan Johor diberikan kepada Salina Teo Abdullah dari daerah Muar.

-NI-

Tinggalkan komen anda