Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Warna- Warna Malaysia Bangkit Kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan

By 2 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Wan Arif Fadhila bin Wan Yusof (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Suasana penuh warna-warni dapat dilihat dalam Majlis Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2019 yang berlangsung di Padang Majlis Daerah Tanah Merah tahun ini.

Tahun ini Daerah Tanah Merah telah dipilih sebagai tuan rumah Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan. Sebanyak 72 kontinjen telah menyertai perbarisan  yang melibatkan 2,630 orang peserta.

Perbarisan ini bermula dengan perarakan masuk kontinjen-kontinjen pasukan beruniform terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, RELA, Penguatkuasa Majlis Daerah Tanah Merah, 8 Briged Angkatan Tentera Malaysia dan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tambor 8 Briged Angkatan Tentera Malaysia mengiringi perarakan masuk kontinjen-kontinjen melibatkan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, dengan didahului oleh kontinjen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Manakala kontijen daripada Lions Club dan Glourious Club mengakhiri senarai perbarisan.

Majlis sambutan diserikan dengan persembahan koir daripada Sekolah Menengah Dato’ Mahmood Paduka Raja 1 dengan dianggotai seramai 30 pelajar.

Penduduk pelbagai lapisan yang memeriahkan Hari Pembarisan Hari Kebangsan 2019 Peringkat Negeri Kelantan

Penduduk pelbagai lapisan yang memeriahkan Hari Pembarisan Hari Kebangsan 2019 Peringkat Negeri Kelantan

Di samping itu juga persembahan Gendang Siam dari Kampung Berchang Tanah Merah dan Silat Segerak Malaysia serta Silat Gayung turut dipersembahkan.

Perasmian Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2019 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Haji Ahmad Yakob.

Pembaca ikrar Rukun Negara, Wan Abdul Rahman Wan Ismail dari Jabatan Belia dan Sukan Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih beliau sebagai pembaca ikrar sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan serta berasa terharu kerana dapat menyumbangkan bakti dalam majlis yang bersejarah ini.

Menurut Farizaida Mohd Zain, 46, dari Gunong Bachok, yang memenangi tempat pertama bagi kategori pengunjung berpakaian konsep Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan, berkata merasa bertuah kerana negara kita aman dan sejahtera serta harmoni.

“Saya begitu teruja dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat pada hari ini. Inilah pertama kali saya menang dalam pertandingan fesyen pakaian jalur gemilang,” ujarnya.

Puan Farizaida Bt Mohd Zain, johan pakaian konsep Jalur Gemilang

Puan Farizaida Bt Mohd Zain, johan pakaian konsep Jalur Gemilang

“Saya dan anak dapat merasai sendiri situasi hari perbarisan sempena Hari Kebangsaan, selama ini hanya menonton di televisyen sahaja,” kata Che Norizan Binti Hamzah, 37, dari Kampung Belimbing Tanah Merah yang mendapat tempat ke tiga dalam kategori pengunjung berpakaian konsep Jalur Gemilang.

Majlis Perbandaran Kota Bharu telah dipilih sebagai kontinjen perbarisan terbaik sempena Hari kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2019 dengan mendapat 99 markah, manakala tempat kedua Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah dengan 93 markah dan Majlis Daerah Kuala Krai mendapat tempat ketiga dengan 91 markah.

Perbarisan kontinjen ini dinilai berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Hadir sama di majlis ini, Timbalan Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan serta barisan Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri.

-NAZ

Tinggalkan komen anda