Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

Industri Pelancongan Jadi Fokus KWP

By 8 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Usaha mempromosikan Wilayah Persekutuan sebagai destinasi pilihan pelancong menjadi antara fokus utama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam meningkatkan jumlah pelancong dan memberikan manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, bagi memantapkan hala tuju sektor pelancongan, sebuah Majlis Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada tahun ini yang menjadi wadah pertemuan antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi KWP bersama wakil-wakil
persatuan dan pemain industri.

“Majlis ini akan mendapatkan pandangan dan membincangkan isu-isu yang dibangkitkan berkaitan dengan pembangunan pelancongan, dan dengan adanya Majlis ini nanti hubungan antara kerajaan dengan pemain industri dalam suasana harmoni.

Khalid semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Khalid semasa menyampaikan ucapan perasmian.

“Apa jua usaha yang dilestarikan menerusi Majlis ini tidaklah mempunyai niat selain memastikan industri pelancongan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini sentiasa berada pada aras yang membanggakan khasnya dalam memberikan sumbangan terhadap ekonomi negara,” katanya semasa merasmikan Festival Layang-layang Antarabangsa Labuan Edisi Pertama, di sini semalam.

Labuan sendiri katanya mempunyai potensi yang besar dalam industri pelancongan dan menyeru kepada penduduknya agar memanfaatkan perkara itu.

“Labuan menawarkan suasana cuaca yang sekata sepanjang tahun dan para pelancong yang berkunjung ke sini boleh menikmati keindahan pancaran suria di pantai serta pulau yang kebanyakan masih belum diusik sepenuhnya oleh pembangunan.

“Saya menyeru kepada penduduk Labuan untuk memanfaatkan sumber alam yang telah dikurniakan ini dengan sebaik-baiknya bukan sahaja sebagai tempat untuk kita
tinggal malah turut mendatangkan hasil pendapatan,” katanya lagi.

salah satu layang-layang yang mencuri perhatian para pengunjung.

salah satu layang-layang yang mencuri perhatian para pengunjung.

Dalam masa sama, Khalid turut menyeru kepada warga Labuan untuk sama-sama memastikan agar wilayah ini terus disenaraikan sebagai salah satu lokasi festival layang-layang di Malaysia.

“Dengan kecemerlangan profil Majlis Pelayang Malaysia mempromosikan acara ini sehingga menjadi satu jenama yang dipercayai di
peringkat antarabangsa, sudah pasti memudahkan usaha mempromosikan dan menjenamakan Labuan.

“Saya berharap semoga Majlis Pelayang Malaysia memberikan penilaian yang wajar bagi membolehkan Labuan disenaraikan
dalam penganjuran akan datang,” tambahnya.

Seramai 63 pelayang termasuk 34 pelayang daripada 14 buah negara menyertai festival selama tiga hari yang bermula pada 6 September di Pantai Batu Manikar, di sini.

-SH

Tinggalkan komen anda