Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 8 Sept (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick, menyeru rakyat di negeri ini mengamalkan gaya hidup sihat sebagai amalan seharian dan menitikberatkan penjagaan kesihatan diri.
Beliau berkata kesedaran tentang penjagaan kesihatan penting bagi mencegah berlakunya pelbagai penyakit yang berpunca daripada amalan cara hidup tidak sihat.
“Kehidupan moden pada masa kini mengubah gaya hidup masyarakat kita menjadi semakin tidak aktif termasuk peningkatan pengambilan makanan yang tidak sihat antara faktor utama penyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, diabetis dan strok.
“Oleh itu, saya menyokong penuh program-program berbentuk kesihatan seperti Pesta Kesihatan bagi menggalakkan masyarakat terus mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pesta Kesihatan Peringkat Wilayah 5 Kota Belud 2019, “Sihat, Setia & Sopan” anjuran Gereja Seventh-Day Adventist Wilayah 5, di Dewan Tun Said Kota Belud, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kesibukan bekerja tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak aktif bersukan atau melakukan aktiviti kecergasan.
“Selain melakukan aktiviti kecergasan seperti bersenam, kita juga harus menjaga pemakanan seharian, menghindari tekanan dan rmempunyai rehat atau tidur yang mencukupi,” katanya.
Katanya, Kempen Cara Hidup Sihat turut mencadangkan supaya masyarakat dapat mengawal kemarahan dan bijak mengawal stress, bertenang, berfikiran positif dan beribadat.
Beliau turut memuji usaha yang dilaksanakan oleh Gereja SDA menganjurkan program seumpama itu dan akan terus memberikan sokongan agar penganjuran program kesihatan diperluaskan di peringkat kampung.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan titik sentuhan sebanyak RM3,000 bagi menjayakan program Pesta Kesihatan.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Pengarah Jabatan Pelayanan dan PerkhidmatanMasyarakat Adventist Mission SDA Sabah Pr.Jim @ Joihin Gabu, Ketua Daerah, OKK Jaintin Molondoi dan Pegawai Kesihatan Daerah Kota Belud merangkap Pengerusi Penganjur Dr. Joshua Teo.
ER