Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

KPLB Anjur Kursus Kemahiran Baru Untuk Wanita, Komuniti Luar Bandar

By 28 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah giat menganjurkan kursus-kursus kemahiran baharu untuk golongan wanita dan komuniti luar bandar.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kursus-kursus itu dilaksanakan dengan mengambil kira dasar-dasar semasa kerajaan serta potensi dan permintaan setiap kursus yang dianjurkan.

“Pada tahun ini, kita telah melaksanakan lebih 10 kursus kemahiran dan disertai lebih 150 peserta yang kebanyakannya golongan wanita.

“Hari ini kita melaksanakan Kursus Asas Refleksologi dan Kursus Asas Jus Perap Buah-buahan melibatkan 32 peserta dari pelbagai daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas Refleksologi dan Kursus Asas Pembuatan Jus Perap, di Pusat Latihan Kemahiran KPLB Sabah, di Mansiang Menggatal pada Jumaat.

Ewon ketika menyampaikan ucapan

Ewon ketika menyampaikan ucapan

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kursus-kursus lain yang telah dilaksanakan di pusat kemahiran itu ialah Kursus Asas dan Lanjutan Menjahit, Kursus Mencanting Batik, Kraftangan Manik, Pakaian Tradisi Etnik Sabah dan produk makanan.

“Kursus-kursus itu adalah antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) KPLB Sabah,” katanya.

Katanya lagi, satu lagi kursus yang akan dianjurkan ialah Pengurusan Perniagaan bagi usahawan-usahawan sedia ada KPLB Sabah dan yang berminat membuka perniagaan Sendirian Berhad.

“Ini penting sebagai kesinambungan kepada Program Latihan Kemahiran dan Program Bimbingan Usahawan KPLB Sabah,” katanya.

Ewon melihat produk jus perap yang dihasilkan peserta kursus

Ewon melihat produk jus perap yang dihasilkan peserta kursus

Mengenai kedua-dua kursus itu, Ewon berkata ia merupakan kursus baharu yang diperkenalkan pada tahun ini atas cadangan beliau kepada Bahagian Keusahawanan dan Industri Desa KPLB Sabah.

“Kita menerima jutaan pelancong asing ke Sabah selain pelancong tempatan yang antara lainnya berkunjung ke pusat-pusat eko pelancongan luar bandar yang menawarkan pelbagai produk seperti hiking, trekking dan riadah sungai.

“Jadi saya berpendapat wajar ada nilai tambah produk atau perkhidmatan di kawasan eko pelancongan luar bandar tersebut dengan menawarkan perkhidmatan refleksologi.

“Sebab itu kita memperkenalkan kursus ini dengan mensasarkan penyertaan daripada kampung-kampung yang ada perusahaan pelancongan,” katanya.

Ewon bergambar bersama peserta kursus

Ewon bergambar bersama peserta kursus

Bagi kursus jus perap buah-buahan pula, komuniti luar bandar sudah berkemahiran untuk menanam dan mengusahakan ladang mereka dengan tanaman buah-buahan.

“Justeru, saya berpendapat wajar untuk kita nilai tambah kemahiran itu dengan melatih bagaimana menyediakan produk-produk jus perap.

“Ini bererti mereka bukan hanya boleh menanam dan memungut hasil buah, tetapi memprosesnya sebagai produk,” katanya.

Tambah beliau, Program Bimbingan Usahawan akan terus diperkasakan di seluruh Sabah dan setakat ini KPLB Sabah telah membimbing 61 usahawan dan mereka telah menubuhkan perniagaan serta mempunyai produk masing-masing.

“Kita juga telah membina Pusat Keusahawanan Desa (PKD) kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan.

“Pada tahun ini, kita membina beberapa lagi bangunan PKD termasuk di Kota Belud, Keningau dan Lahad Datu.

“Saya gembira kerana beberapa usahawan ini telah menembusi pasaran antarabangsa dan beberapa kali menyertai expo perdagangan di luar dan dalam negara,” katanya.

Ewon menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta terbaik

Ewon menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta terbaik

Ewon berkata, daripada keseluruhan usahawan di bawah program bimbingan KPLB Sabah, empat usahawan akan menerima Anugerah Usahawan Sabah yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

“Ini jelas membuktikan bahawa program keusahawanan desa KPLB Sabah berjaya mencapai objektif dan saya berharap kejayaan mereka akan terus menjadi motivasi kepada komuniti luar bandar yang lain,” katanya.

Harapan beliau akan ada lebih banyak Pusat Latihan Kemahiran dan Pusat Keusahawanan Desa dapat dibina pada tahun-tahun akan datang termasuk menaiktaraf kemudahan sedia ada dengan adanya peruntukan yang lebih besar disalurkan kepada KPLB Sabah.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap KPLB, Aftar Nurajat; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Keusahawanan dan Industri Desa KPLB, Felicia Sindan dan Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook.

ER

Tinggalkan komen anda