Laporan/foto: Robin Junang (Kuching)
KUCHING, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Kumpulan HLV Gemilang dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan mewakili Sarawak dalam Pertandingan Pengisahan Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
Pada peringkat saringan Pertandingan Pengisahan ini diadakan pada 28 September 2019 (Sabtu) di Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato’ Razali Ismail Kuala Nerus, manakala peringkat akhir pada 29 September 2019 (Ahad) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman.
Kumpulan ini diwakili oleh tiga anak muda Alexswealth anak Egun, Veronica Dina anak Saga dan Lis Solihat binti Ag Hasbolah merupakan siswa pendidik dari IPGTAR Kota Samarahan di mana kesemua mereka mengambil program ijazah sarjana muda perguruan dalam pendidikan jasmani.
Kumpulan ini terbentuk hasil daripada dorongan dan sokongan yang diberikan oleh pensyarah Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Pendidikan Jasmani IPGTAR.
Mesej yang disampaikan oleh kumpulan ini adalah mengenai kisah perjuangan Rosli Dhoby, seorang anak muda yang berusia 17 tahun ketika itu ingin membebaskan Sarawak dari kuasa penjajah di mana beliau telah berjaya menamatkan riwayat Duncan George Steward, Gabenor British dengan menggunakan sebilah badik.
Setelah 46 tahun Kisah Rosli Dhoby yang dianggap sebagai pengkhianat dan pembunuh akhirnya kini diangkat sebagai seorang wira Sarawak oleh kerajaan negeri pada tahun 1996.
Jenazahnya yang disemadi di Penjara Pusat Kuching selama 46 tahun akhirnya dipindahkan dan dikebumikan di Makam Pahlawan Sarawak berhampiran Masjid Kota Sibu pada 2 Mac 1996. Dia telah diberikan penghormatan pengkebumian negeri oleh kerajaan Sarawak.
Wakil dari Sarawak ini akan membawa kisah tragis yang berlaku di mana kerajaan British pada waktu itu telah menukarkan usia Rosli Dhoby daripada 17 tahun kepada 18 agar ia boleh dihukum bunuh.
“Perasaan teruja itu sangat tinggi untuk membawa kisah Rosli Dhobi agar rakyat Malaysia kenal siapakah ‘Rosli Dhoby’,” kata Lis Solihat binti Ag Hasbolah salah seorang trio kumpulan HLV.
Bagi Alexswealth anak Egun, mereka telah membuat persediaan dari segi kajian kisah Rosli Dhobi dan membuat beberapa latihan serta persembahan untuk mendapatkan ulasan bagi memperbaiki mutu persembahan.
“Kami juga mendapat bimbingan dari pensyarah iaitu Dr Anna dan Dr Sara serta Pengarah IPGTAR bagi memperbaiki teknik serta memantapkan persembahan,” ujar Alexswealth anak Egun lagi.
Trio ini amat berharap semoga dapat menjulang nama Sarawak dalam Pertandingan Pengisahan Peringkat Kebangsaan nanti walaupun tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan dan teater.