Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 6 Sep (Malaysiaaktif) – “Daerah Kuala Pilah merupakan pengeluar tanaman jagung yang terbesar di Malaysia, dan ini satu kebanggaan dan pencapaian yang sangat baik bagi kita semua dan sekaligus dapat meningkatkan ekonomi di daerah ini.”
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir ketika berucap merasmikan Program Hari Informasi Pertanian Peringkat Daerah Kuala Pilah baru-baru ini.
Beliau juga berkata kerajaan negeri telah menetapkan beberapa perancangan untuk meningkatkan ekonomi dan pembangunan industri pertanian ini sehingga tahun 2023.
“Kita akan merancakkan sektor pertanian dan hiliran sebagai pemangkin pembangunan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar,” ujarnya ketika ditemui di sini.
Bakri turut menjelaskan bahawa tanah terbiar akan dibangunkan dengan insentif yang menarik supaya lebih ramai anak muda terlibat.
“Langkah ini bertujuan bagi menggalakkan pembangunan kawasan baru penanaman bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman makanan.
“Bukan sahaja dalam bidang tanaman, malahan dalam sektor ternakan juga peruntukkan disediakan. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan penduduk di luar bandar dapat menikmati limpahan hasil,” tambahnya.
Dalam pada itu Bakri menyeru supaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menjadi pemudahcara dan membantu kerajaan negeri untuk rakyat menikmati manfaat dari insentif tersebut.
Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Sembilan, Umairah Kassim, berkata Program Hari Informasi yang diadakan selama dua hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat antaranya, kursus pertanian organik dan bio-nutrient, kawalan lalat buah dan demo masakan sawi jeruk.
“Program ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh setiap Pejabat Pertanian Daerah dan merupakan satu kaedah untuk Jabatan Pertanian bertemu para pengusaha dan usahawan secara bersemuka.
Menurut Umairah lagi, program ini juga memberi latihan secara guna tangan kepada golongan sasar untuk meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi pertanian.
Turut diadakan adalah sesi waktu ria jualan sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga yang terendah sebanyak bagi mempromosikan hasil pertanian yang ada dalam daerah tersebut.
-AK