Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di IPT Dilancarkan

By 7 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata garis panduan ini dibangunkan bagi memastikan sistem pendidikan yang berterusan diberikan kepada pelajar-pelajar OKU yang berjaya mendapat tempat di Universiti awam dan swasta.

“Semua universiti awam di seluruh negara wajib melaksanakan Dasar Inklusif OKU dan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU yang berasingan daripada Unit Kebajikan bermula kemasukan sesi 2019/2020.

“Garis panduan yang telah dihasilkan ini akan membantu setiap IPT melaksanakan Dasar Inklusif OKU di institusi masing-masing secara komprehensif dan holistik,” katanya selepas pelancaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata komitmen negara dalam memberi ruang pendidikan kepada golongan OKU dapat dilihat melalui pelaksanaan Pendidikan Inklusif.

Dr Maszlee (tiga dari kiri) menunjukkan Garis Panduan kepada pelajar OKU selepas melancarkannya di UIAM Gombak, hari ini.

Dr Maszlee (tiga dari kiri) menunjukkan Garis Panduan kepada pelajar OKU selepas melancarkannya di UIAM Gombak, hari ini.

“Sehingga kini golongan OKU telah diberi peluang mendapat pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga IPT.

“Mulai tahun ini, KPM telah melaksanakan Dasar Penolakan Sifar secara menyeluruh bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) untuk memastikan tiada murid kalangan OKU dinafikan hak mereka mendapatkan pendidikan.

Dr Maszlee (dua dari kanan) menunjukkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di IPT selepas melancarkannya hari ini.

Dr Maszlee (dua dari kanan) menunjukkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di IPT selepas melancarkannya hari ini.

“Tujuan dasar pendidikan inklusif ini untuk menghapuskan pengasingan pelajar OKU daripada pelajar-pelajar lain untuk mendapatkan pendidikan terbaik, di samping memberi manfaat kepada pelajar-pelajar bukan OKU,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) KPM, Datuk Kamil Mohamad, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datin Paduka Ir Siti Hamisah Shamsir dan Ketua Pengarah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Naim Yaakob.

Di majlis pelancaran tersebut, Dr Maszlee menyerahkan Garis Panduan kepada 20 IPT awam seluruh negara.

-NAZ

Tinggalkan komen anda