Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MB Yakin Isu Peniaga Pasar Selayang Baru Mampu Diselesaikan

By 9 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan pihaknya yakin isu perpindahan peniaga Pasar Warisan Selayang Baru ke bangunan baru dapat diselesaikan.

Menurutnya, beliau mengenal pasti formula yang boleh menyelesaikan isu tersebut yang perlu dilakukan memandangkan isu perpindahan telah lama berlarutan.

“Ada formula menyelesaikan isu penempatan semula peniaga pasar pagi Selayang Baru ke bangunan pasar moden.

“Pemindahan tetap perlu dilakukan bagi mengelak kerajaan negeri dan pemaju berterusan menanggung kos kerugian memandangkan isu tersebut berlarutan hampir sepuluh tahun,”katanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata isu peniaga itu sememangnya dalam perhatian beliau dan yakin masalah itu mampu diselesaikan mengikut syor-syor bersesuaian.

Bantahan peniaga pasar Selayang Baru yang diadakan hari ini.

Bantahan peniaga pasar Selayang Baru yang diadakan hari ini.

“Reka bentuk pasar moden ini dibuat lama sebelum jumlah peniaga bertambah. Sekarang ia perlu diubah suai mengikut kesesuaian lokaliti dan jumlah peniaga.

“Kita akan sedaya upaya memenuhkan peniaga dalam pasar moden itu. Dalam masa sama permasalahan lain juga akan diselesaikan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya selepas merasmikan Program Gotong Royong Merdeka anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Tua Baharu, di sini hari ini.

Isu peniaga pasar itu timbul apabila Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan peniaga berpindah bermula 5 Oktober depan ke bangunan pasar moden empat tingkat yang telah siap hampir 10 tahun lalu.

Namun, peniaga membantah pemindahan itu dengan alasan ramai peniaga yang tidak mendapat tapak niaga walaupun telah lama berniaga di samping isu-isu lain termasuk kemudahan asas.

-NAZ

Tinggalkan komen anda