Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Polis Tumpaskan Ahli Geng Topeng

By 16 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Tiga ahli kumpulan Geng Topeng yang dipercayai aktif dalam kes samun di Selangor maut ditembak di Kilometer 22 Batu Arang, awal pagi ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata suspek yang menaiki kereta Volkswagen Polo berwarna merah dikesan dalam rondaan ‘Ops Samun’ kira-kira jam 5 pagi di kawasan perumahan Bandar Country Homes.

“Kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran WVV6188 dikesan dalam keadaan mencurigakan dan pihak polis cuba memintas serta mengarahkan agar berhenti namun gagal.

“Tapi suspek memberi tentangan dengan menghimpit kenderaan polis ke sebelah kanan, malah memecut laju menuju ke Pekan Batu Arang walaupun pihak kami berkali-kali cuba menghentikan kereta tersebut.

“Polis mengejar suspek sejauh tujuh kilometer dan ketika sampai di selekoh Kilometer 22 Jalan Rawang-Batu Arang, kereta suspek telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri menyebabkan kenderaan itu tidak dapat bergerak,” katanya semasa sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebentar tadi.

Menurut Noor Azam, susulan itu keluar tiga orang melepaskan beberapa das tembakan memaksa polis terpaksa bertindak balas dengan melepaskan enam das tembakan dan berjaya menumpaskan mereka.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kami menjumpai tiga orang lelaki berketurunan India di mana dua orang daripadanya masing-masing memegang pistol dan seorang lagi memegang sebilah parang.

“Pemeriksaan awal juga menjumpai tiga helai topeng muka, dua pasang sarung tangan, tiga bilah parang dan dua pucuk pistol separuh automatik jenis Sport Arms Miami FL dan Colt Automatic.

“Kenderaan Volkswagen Polo tersebut juga menggunakan nombor palsu yang telah dicuri bersabit dengan satu kes samun di Taman Greenpark, Rawang pada 5 Ogos lalu,” jelasnya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan usaha mengenal pasti identiti suspek masih diteruskan memandangkan tiada sebarang pengenalan diri dijumpai ditempat kejadian.

“Ini merupakan salah satu kejayaan pihak kami dalam membanteras jenayah khususnya berkait kes samun yang semakin meningkat mutakhir ini.

“Mengikut rekod, daripada bulan Mei tahun ini hingga kini sebanyak 60 kes samun dalam rumah direkodkan di Selangor yang melibatkan dua hingga lima suspek. Modus operandinya bertopeng, berparang atau pistol dengan masuk ke dalam rumah untuk menyamun,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda