Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi Mohamad (Kluang)
KLUANG, 23 Sept (Malaysiaaktif) – Kesesakan lalu lintas di Persimpangan P. Srinivasan yang merupakan laluan utama ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom bakal menemui jalan penyelesaiannya.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, hari ini, telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek CSR Pelebaran Jalan Persimpangan P. Srinivasan, Kluang, bersempena dengan lawatan kerja beliau selama sehari ke daerah Kluang.
Projek yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pemaju dari Syarikat Kemajuan Tong Tor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kluang, merupakan satu inisiatif yang telah diusahakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Mengkibol, Chew Chong Sin bersempena dengan Karnival Hari Amal Antarabangsa 2019 yang dianjurkan oleh Pejabat ADUN Mengkibol pada 14 dan 15 September yang lalu.
Chew Chong Sin berkata pada perancangan awalnya majlis perasmian projek CSR ini akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam lawatan kerja beliau ke daerah Kluang pada 14 September yang lalu namun beliau tidak dapat hadir disebabkan tugasan rasmi yang tidak dapat dielakkan
“Syarikat Kemajuan Tong Tor telah menyumbang sebanyak RM500,000 untuk tujuan pelebaran jalan, namun terdapat sedikit kekangan untuk melebarkan jalan tersebut kepada empat lorong kerana perlu memindahkan saluran paip air milik SAJ Ranhill yang terletak di bahu jalan, dan melibatkan peruntukan kewangan untuk kerja-kerja pengalihan tersebut,” katanya lagi.
Dr. Sahruddin dalam lawatannya telah mengambil maklum tentang masalah yang dihadapi dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menyelesaikan perkara tersebut agar kerja-kerja pelebaran jalan dapat berjalan dengan lancar.
Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Johor, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu, serta ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan daerah Kluang.
Bersempena dengan Lawatan Kerja Menteri Besar Johor ke daerah Kluang itu juga, beliau telah berkesempatan untuk menyampaikan surat hak milik tanah kepada penerima-penerima dari Kampung Sumber Jaya, Kampung Paya Haji Basri dan Kampung Haji Hamzah yang telah diadakan di Kampung Parit Hassan, Ulu Benut.
-NI-