Laporan/ foto: Mawarni Ismail/ Azimee Abdullah (Daerah Barat Daya)
BUKIT JAMBUL, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Telah berlangsung Majlis Pelancaran Yayasan Food Bank Malaysia dan Majlis Apresiasi bersama para penyumbang bertempat di Dewan Mutiara, Hotel Equatorial.
Yayasan Food Bank Malaysia telah ditubuhkan pada 7 Januari 2019 yang mana penubuhannya bertujuan untuk menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan dalam mengurangkan pembaziran makanan di samping menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan atau B40. Selain itu juga, Yayasan Food Bank Malaysia juga turut menyelaras, merancang dan melaksana pengumpulan sumbangan dana bagi tujuan operasi Program Food Bank Malaysia berjalan dengan lancar.
Program yang mula diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif peduli rakyat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bermula dengan memberi bantuan berupa bekalan makanan kepada komuniti kemudian diperluas ke peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan dikenali sebagai Food Bank Siswa.
Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Wan Azizah Binti Wan Ismail dan turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Saifuddin Nasution Bin Ismail yang merupakan pencetus kepada wujudnya Program Food Bank Malaysia ini.
Saifuddin dalam ucapan aluannya berkata, “Kita mahukan pencapaian dan kemakmuran yang kita capai dikongsi bersama. Inisiatif Food Bank berperanan sebagai mekanisme pengagihan semula atau”redistributive mechanism” untuk membantu mereka yang menghadapi kekangan selain dari mengurangkan pembaziran serta menjadikan kita sebuah masyarakat yang prihatin.”
Wan Azizah juga turut menyampaikan plak penghargaan serta menjadi saksi kepada Majlis Menandatangani MOU di antara Yayasan Food Malaysia dengan rakan strategik.
-II-