Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Stadium Perpaduan Petra Jaya Lokasi Sambutan Hari Malaysia 2019

By 11 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Genda Sating / Cassidy Lisut (Kuching)

KUCHING, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Sambutan Hari Malaysia memutuskan bahawa sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang sebelum ini dirancang di Padang Merdeka Kuching akan diadakan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching pada 16 September ini, mulai jam 7 malam.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian semasa mengadakan Sidang Media di Hornbill Skyway di sini, petang tadi.

Menurut Awang Tengah, pertukaran tempat ini terpaksa dilakukan demi kebaikan semua pihak berikutan masalah jerebu yang kini menyelubungi Bandar Raya Kuching.

Awang Tengah semasa mengadakan Sidang Media di Hornbill Skyway di sini, petang tadi

Awang Tengah semasa mengadakan Sidang Media di Hornbill Skyway di sini, petang tadi

“Kita tidak boleh merisikokan kesihatan orang ramai sekiranya indeks pencemaran udara mungkin meningkat sehingga melebihi daripada 200 kerana kita tidak tahu apa yang berlaku pada 16 September nanti”, ujar beliau.

Awang Tengah yang juga menteri bertanggungjawab bagi penganjuran acara ini, turut memaklumkan melalui taklimat bersama Jabatan Meteorologi, Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai keadaan jerebu bahawa keputusan memindahkan tempat sambutan perayaan ke Stadium Tertutup terpaksa dilakukan atas isu kesihatan.

“Masalah jerebu diramalkan akan berterusan sehingga akhir bulan September dan pada masa ini, terdapat lebih daripada 100 titik panas dikesan di Kalimantan dan arah angin masih bergerak menuju ke Sarawak sehingga tidak sesuai untuk kita mengadakan acara Hari Malaysia di Padang Merdeka”, tambah beliau lagi.

Awang Tengah turut memaklumkan bahawa acara utama sambutan masih sama seperti yang telah dirancang di Padang Merdeka merangkumi persembahan 300 pemukul gendang, shadow play, menaikkan Jalur Gemilang, Konvoi Kembara Merdeka dan pelbagai acara yang menjanjikan warna-warni dan penuh bermakna.

Antara tetamu kenamaan yang dijangka hadir di majlis ini nanti ialah, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Tun Pehin Sri Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan isteri, Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Bujang, menteri negeri, menteri besar, diplomat asing dan tetamu jemputan yang lain.

Hadir sama dalam majlis ini, Menteri Muda E-dagang dan Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah KKMM di Sarawak.

Tinggalkan komen anda