Laporan / foto: Nurul Wahida Mohamad Noor (Seberang Perai Tengah)
ALOR SETAR, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pidato Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia telah mencungkil banyak bakat-bakat muda untuk beraksi di pentas sebagai satu inisiatif untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan agar terus sampai kepada golongan masyarakat.
Seramai 15 orang peserta mewakili setiap negeri telah berentap dalam pertandingan kali ini yang bertemakan “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih “.
Munirah Muhamad , 21, seorang pelajar tahun kedua dalam jurusan undang-undang dan syariah di Universiti Sains Islam Malaysia menyatakan keterujaan beliau apabila dinobatkan selaku Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019.
Beliau mengambil masa lebih kurang sebulan untuk membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi pertandingan ini. Malah tajuk yang diberikan oleh pihak urusetia amat bertentangan dengan bidang yang diceburi beliau, namun beliau mengambil hal ini sebagai satu cabaran buat dirinya.
Harapannya agar mesej yang disampaikan dapat memberikan kesedaran serta manfaat buat masyarakat umum , khususnya generasi muda agar jangan mudah terpedaya dengan sebaran fitnah yang semakin berleluasa serta meletakkan satu limitasi terhadap perkara-perkara yang mampu mengancam ketenteraman sejagat sehingga menganggu gugat perpaduan yang telah dibina sejak dahulu lagi.
“Masyarakat harus lebih peka dan mengadaptasi segala perubahan dengan kebijaksanaan bukan di atas dasar rasa curiga dan dendam. Ini dapat mendidik masyarakat yang bertamadun serta berfikiran lebih terbuka,” ujar beliau.
Munirah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan juga Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pulau Pinang yang telah memberi ruang, peluang dan sokongan kepadanya sehingga beliau dinobatkan sebagai Johan.
-II-