Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Cadangan Projek Perintis ‘Rubberised Road’ di Kota Belud Diteliti

By 27 Oktober 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan untuk melaksanakan projek perintis pembinaan jalan raya menggunakan teknologi adunan bitumen-getah atau “rubberised road” sejauh 2 kilometer di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kini dalam proses pengumpulan maklumat.

Beliau berkata, ini kerana pembinaan jalan raya menggunakan teknologi ini belum pernah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak sebelum ini.

“Sebab itu pihak Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR) perlu meneliti laporan-laporan teknikal dan maklumat terperinci berasaskan projek-projek yang dilaksanakan sebelum ini di Semenanjung daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia sebelum melaksanakan “rubberised road” di Sabah.

“Cadangan untuk melaksanakan projek perintis ini sudah dipersetujui secara prinsip, tapi pihak JKR Sabah memerlukan maklumat terperinci daripada LGM dan KKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada Para Pekebun Kecil Getah Kawasan Kota Belud, di Dewan Gopog Taginambur, di sini, pada Jumaat.

Junz menyampaikan BMT kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Ewon (lima dari kiri).

Junz menyampaikan BMT kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Ewon (lima dari kiri).

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk “rubberised road” di seluruh Malaysia.

“Bagaimanapun ia hanya dilaksanakan di jalan-jalan persekutuan di Semenanjung sahaja sebab sebelum ini JKR Sabah mempunyai pandangan tersendiri, mereka belum lagi menerima teknologi ini sebelum membuat penelitian terperinci.

“Itu sebabnya kita mengadakan lawatan di pejabat LGM Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat lanjut. Lawatan saya dan Datuk Junz Wong tersebut disertai oleh JKR Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Pejabat Daerah Kota Belud untuk berbincang dengan pihak LGM dan KKM.

Ewon dan Junz ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

Ewon dan Junz ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

“Kita juga telah dibawa melihat lebuhraya yang diturap menggunakan teknologi ini serta kilang-kilang pembekal,” katanya.

Beliau berkata perbincangan itu amat penting bagi membolehkan pihak JKR Sabah mengetahui lebih terperinci mengenai pembinaan jalan raya menggunakan teknologi ini sebelum melaksanakan pilot projek tersebut.

“Sebagai Wakil Rakyat yang telah mencadangkan pembinaan jalan raya menggunakan teknologi getah di kawasan Kadamaian, kita akan berusaha menuntut peruntukan daripada kerajaan persekutuan supaya ia dapat direalisasikan. Mungkin ianya juga akan melibatkan perubahan ke atas tapak asal yang dicadangkan tertakluk kepada keputusan akhir pihak JKR.” katanya.

Lebuhraya Damansara Puchong Selangor, antara jalan di Semenanjung yang menggunakan teknologi adunan bitumen-getah atau “rubberised road”.

Lebuhraya Damansara Puchong Selangor, antara jalan di Semenanjung yang menggunakan teknologi adunan bitumen-getah atau “rubberised road”.

Ewon berkata, jika pilot projek itu berjaya dilaksanakan di Kadamaian, ia adalah satu-satunya jalan getah yang pertama di Sabah.

Bagaimanapun katanya, memandangkan di Semenanjung “rubberised road” tidak dilaksanakan di projek baharu naiktaraf jalan dan mereka hanya melaksanakannya di jalan-jalan sedia ada yang perlu diturap semula menggunakan teknologi adunan bitumen-getah tersebut, maka kemungkinan lokasi projek perintis akan berubah.

“Oleh itu, lokasi pilot projek ini mungkin akan melibatkan perubahan sebab lokasi yang saya cadangkan itu adalah projek baharu, tetapi JKR berpandangan lebih sesuai jika ia dilaksanakan di jalan berturap sedia ada yang rosak dan perlu diturap semula.

“Selain itu kita juga perlu mengambil pandangan dari sudut teknikal dan kejuruteraan sebelum meneruskan cadangan ini, tetapi secara prinsipnya kita telah bersetuju untuk menerima cadangan ini untuk dilaksanakan dengan harapan kita dapat mewujudkan permintaan kepada bahan mentah asli getah seterusnya meningkatkan harga getah,” katanya.

Ewon dan rombongan diberi taklimat oleh Pengerusi LGM Sankara N.Nair semasa lawatan itu.

Ewon dan rombongan diberi taklimat oleh Pengerusi LGM Sankara N.Nair semasa lawatan itu.

Ewon berkata, perbincangan mengenai cadangan itu telahpun dimulakan dengan pelbagai pihak berkaitan sejak tahun lepas.

Sementara itu Junz menyatakan sokongan beliau kepada cadangan penggunaan bahan mentah getah asli dalam teknologi pembinaan jalan raya dan berharap agar projek perintis itu dapat dilaksanakan di Sabah memandangkan ia telahpun dilaksanakan di 21 buah jalan di Semenanjung.

“Sekiranya dengan cara itu kita dapat menstabilkan harga getah di Sabah, maka kita akan membawa perkara ini ke kabinet untuk dijadikan sebagai dasar seterusnya membina beberapa jalan menggunakan teknologi getah.

“LIGS bersedia membekalkan bahan mentah getah asli sekiranya teknologi ini mahu dikembangkan di Sabah. Kita telah dimaklumkan oleh LGM bahawa mereka sedang berbincang dengan sebuah syarikat tempatan Sabah yang telah menyatakan minat membina kilang pembekal bitumen yang diadunkan dengan getah asli untuk pembinaan jalan,” katanya.

Junz (empat dari kanan) menerima cenderakenangan daripada Pengerusi LGM Sankara N.Nair, turut kelihatan Ewon (lima dari kanan), Ketua Pengarah LGM Dr.Zairossani Mohd Nor (dua dari kiri), Pengurus Besar LIGS Sabah Sabdil Tanjung (tiga dari kiri), Jurutera Daerah Kota Belud Shim Pau Kiong (dua dari kiri) dan Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah (kiri), semasa kunjungan dan taklimat di pejabat LGM Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Junz (empat dari kanan) menerima cenderakenangan daripada Pengerusi LGM Sankara N.Nair, turut kelihatan Ewon (lima dari kanan), Ketua Pengarah LGM Dr.Zairossani Mohd Nor (dua dari kiri), Pengurus Besar LIGS Sabah, Sabdil Tanjung (tiga dari kiri), Jurutera Daerah Kota Belud, Shim Pau Kiong (dua dari kiri) dan Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah (kiri), semasa kunjungan dan taklimat di pejabat LGM Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, selain menyampaikan BMT kepada para pekebun kecil getah, Junz juga mengadakan sesi dialog berkaitan industri getah Sabah yang menyentuh berkaitan isu harga, aktiviti ekonomi tambahan bagi pekebun yang menanam semula getah dan beberapa isu lain.

Seramai 5,123 pekebun kecil getah di daerah Kota Belud layak menerima BMT yang disalurkan secara elektronik ke akaun mereka atau dibayar secara tunai di kaunter pejabat LIGS Kota Belud.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi LIGS, Datuk John Ghani dan Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah.

ER

Tinggalkan komen anda