Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Hari Akademia PMM, Platform Iktiraf Warga Pendidik

By 31 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Haniza Baharom (PMM)

MERLIMAU, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) menganjurkan Sambutan Hari Akademia yang bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta pencapaian ahli akademik dalam usaha melahirkan modal insan negara.

Pengarah PMM Rosli Hamid, berkata penganjuran majlis ini dirangka berpaksikan kepada objektif pengisytiharan Hari Akademia itu sendiri iaitu menghargai serta mengiktiraf sumbangan serta pencapaian ahli akademik PMM dalam pelbagai bidang yang telah dikenal pasti.

“Jawatankuasa panel penilai terdiri daripada timbalan-timbalan pengarah PMM serta pensyarah-pensyarah utama diwujudkan bagi membangunkan kerangka penilaian yang berlandaskan kepada tiga elemen iaitu character, visibility dan impact.

“Dua kategori anugerah yang disediakan iaitu anugerah kategori jabatan dan anugerah kategori individu memberi akses yang luas kepada ahli akademik PMM untuk melayakkan mereka mencalonkan diri,” katanya ketika ditemui ketika merasmikan majlis, di sini kelmarin.

Rosli (enam dari kanan) bergambar bersama para penerima anugerah.

Rosli (enam dari kanan) bergambar bersama-sama penerima anugerah.

Menurut Rosli, penilaian bagi kategori jabatan dinilai dengan melihat kepada sumbangan serta pencapaian warga jabatan dalam bidang akademik, sukan, keusahawanan dan inovasi yang melibatkan pelajar.

“Manakala anugerah kategori individu secara khususnya mengiktiraf sumbangan dan pencapaian ahli akademik dalam bidang inovasi pengajaran dan pembelajaran, kemahiran, penyelidikan serta khidmat sosial,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Penasihat Program Haniza Baharom, kejayaan penganjuran buat julung kalinya ini ialah hasil kerjasama berpasukan dalam kalangan warga PMM amnya, dan Unit Jaminan Kualiti bersama Jabatan Perdagangan khususnya sebagai penganjur.

“Majlis ini dilaksanakan dengan jayanya di mana ahli akademik yang dinobatkan sebagai penerima anugerah jelas menampakkan sumbangan serta pencapaian yang sangat signifikan kepada kejayaan PMM kini.

“Adalah diyakini, penganugerahan ini telah dapat menyuntik semangat persaingan yang sihat dalam kalangan ahli akademik untuk memanfaatkan ilmu serta kepakaran mereka sebagai warga masyarakat yang proaktif dan responsif terhadap keperluan semasa,” ujarnya.

Majlis tersebut menobatkan, Ariffuddin Ibrahim daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik selaku pemenang anugerah utama iaitu Anugerah Ikon Akademia PMM 2019, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (Anugerah Akademia Jabatan), Juliyanna Aliman ; Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (Inovasi Pengajaran & Pembelajaran), Hasnida Khairudin ; Jabatan Pelancongan & Hospitaliti (Ketegori Kemahiran) dan Anafiah Hamzah ; Jabatan Kejuruteraan Awam (Kategori Khidmat Sosial).

-SH

Tinggalkan komen anda