Laporan/ foto: Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Rumah pangsa Desa Wawasan merupakan rumah kategori Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang telah dimajukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Perumahan. Pelbagai rakyat dari latar belakang yang mempunyai pendapatan yang rendah dan tidak mampu membeli rumah tinggal di sini.
Setelah beberapa tahun beroperasi, semalam, Rumah Pangsa Desa Wawasan yang mempunyai 907 unit dengan keluasan rumah 700 kaki persegi ini akan berwajah baharu. Ini adalah inisiatif dari kerajaan negeri yang akan melakukan kerja-kerja mengecat semula dan lain-lain kerja berkaitan di rumah pangsa ini.
Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh berkata ketika merasmikan majlis ini, sebanyak RM 182 juta telah dibelanjakan bagi perumahan awam. Bagi projek Desa Wawasan ini pula sebanyak RM 1.55 juta dibelanja bagi kos mengecat manakala bakinya adalah lain-lain kerja berkaitan.
“Kerajaan negeri amat prihatin dengan rakyat yang kurang berkemampuan untuk membeli rumah dan sentiasa akan membantu dalam mendapatkan pinjaman perumahan,” katanya.
Antara kaedah lain yang digunakan bagi membantu rakyat ialah, kaedah sewa beli atau rent to owner (RTO) dengan kadar sewaan yang cukup berpatutan seperti mana yang telah dilancarkan di PPR Kampung Tok Suboh, dan Desa Damai sebelum ini. Bagi kawasan rumah pangsa desa wawasan pula, pada pagi semalam turut diumumkan sebanyak 40 unit rumah di Blok B akan dijadikan rumah sewa beli sebagai permulaan, manakala fasa 1 pula untuk dijadikan rumah milik sendiri dengan bayaran sewa beli selama 20 tahun.
Menurut Jagdeep lagi, rumah pangsa yang akan dibaikpulih ini dijangka akan siap pada bulan julai 2020 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya SPT.
Beliau juga menyeru agar masyarakat di rumah pangsa ini untuk mempunyai tanggungjawab dan kesedaran bagi bersama-sama menjaga setiap kemudahan yang disediakan bagi manfaat bersama.
“Hasrat kerajaan negeri untuk mencapai Visi Penang 2030 yang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat tidak akan tercapai dengan usaha daripada pihak kerajaan sahaja tetapi rakyat juga perlu memainkan peranan ke arah tersebut.”
Turut hadir pada majlis ini adalah ADUN Padang Lalang yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri, Chong Eng, Sr. Haji Rozali Mohamud, Datuk Bandar MBSP, pegawai dan kakitangan kerajaan serta penduduk setempat.
-II-