Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

JKSM Anjur CSR Sulh Dekatkan Jabatan dengan Masyarakat

By 2 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/JKSM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia buat julung kalinya mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sulh sempena Muzakarah Pegawai-Pegawai Sulh seluruh Malaysia kali ke-12 bagi memberi pendedahan kepada peserta mendapatkan maklumat secara langsung daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah mengenai produk yang ditawarkan.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan program turun padang ini merupakan inisiatif jabatan dalam menukar persepsi masyarakat bahawa Mahkamah Syariah sukar untuk didekati sekaligus mendekatkan jurang ahli akademik dan mahasiswa dengan barisan kehakiman syariah.

“Demi memberi impak yang optimum, kaedah yang diguna pakai dalam program CSR Sulh ini adalah berbentuk Forum, Kaunter Interaktif Sulh, Pameran dan juga peraduan yang menawarkan hadiah menarik kepada para peserta.

Peserta Muzakarah Pegawai-Pegawai Sulh Seluruh Malaysia bergambar bersama-sama.

Peserta Muzakarah Pegawai-Pegawai Sulh Seluruh Malaysia bergambar bersama-sama.

“Program ini juga memberi peluang kepada Pegawai Sulh memberi perkhidmatan secara ‘turun padang’ kepada masyarakat dan menyampaikan maklumat Sulh yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah kepada komuniti dengan lebih dekat dan berkesan bagi mewujudkan masyarakat yang celik dan cakna tentang perundangan Syariah secara asas,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi hari ini.

Menurut Dr. Mohd Na’im, JKSM menyokong prinsip utama Pengurusan Hal Ehwal Islam melalui pendekatan Rahmatan Lilalamin bersendikan Maqasid Syariah yang menjadi dasar kepada pentadbiran baharu kerajaan sekarang ini.

“JKSM perlu bergerak sebagai satu pasukan kerja yang proaktif dengan mewujudkan jaringan kerjasama yang mantap dalam penganjuran sesuatu aktiviti atau program berimpak besar di samping mengamalkan perbelanjaan secara berhemah.

“Menerusi kluster “Memperkasakan Perundangan dan Kehakiman Syariah Melalui Reformasi Berterusan Pentadbiran Kehakiman, Penggubalan Undang-Undang dan Peningkatan Profesionalisme Hakim-Hakim Syarie”, program CSR yang kita hadiri pada hari ini diharap dapat memberikan kefahaman kepada sidang hadirin sekalian mengenai proses dan prosedur di Mahkamah Syariah,” katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia Datuk Othman A. Karim.

Tinggalkan komen anda