Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Teknologi 5G Tidak Jejaskan Isu Keselamatan, Kesihatan – Dr. Mohd

By 2 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Aishah Omar (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Persidangan Antarabangsa Sinaran Tidak Mengion (ICNIR 2019) bertemakan “5G: Transforming Our Future” yang sedang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di sini merupakan persidangan kali ke-9 diadakan sejak 2009.

Persidangan anjuran Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Malaysian Radiation Protection Association (MARPA) itu merupakan sebahagian daripada usaha pihak penganjur untuk menyebarluas beberapa isu berkaitan teknologi 5G yang diperkenalkan di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr. Mohd Abd Wahab Yusof, usaha ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan penggunaan 5G seawal akhir 2021.

Dr. Mohd mencuba aplikasi yang disediakan di tapak pameran yang mengambil bahagian pada persidangan ini.

Dr. Mohd mencuba aplikasi yang disediakan di tapak pameran yang mengambil bahagian pada persidangan ini.

“Malaysia kini berada di landasan terbaik menjadikan negara ini antara negara pertama di ASEAN membawa pengalaman 5G secara langsung yang bakal memanfaatkan rakyat, pihak industri dan kerajaan sendiri serta berpotensi tinggi untuk memacu kemajuan negara dalam bidang ini.

“Teknologi ini merupakan jaringan pantas yang mampu mencapai kelajuan 20Gbps dan Malaysia sudah pasti akan berdepan dengan perubahan ekoran teknologi ini yang membolehkan inovasi canggih seperti robotik, kereta swapandu, rangkaian pintar, bandar pintar dan menjadikan rakyat Malaysia terutama generasi muda mempunyai satu lagi platform untuk menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut, di sini hari ini.

Menurut Dr. Mohd, isu keselamatan dan kesihatan perlu ditangani berdasarkan penemuan saintifik terhadap impak teknologi terhadap kesihatan manusia dengan cara yang dipersetujui oleh suara ramai dalam kalangan pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang berkaitan pada peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Agensi Nuklear sempat merakamkan foto kenangan dengan Jawatankuasa Penganjur Persidangan.

Ketua Pengarah Jabatan Agensi Nuklear sempat merakamkan foto kenangan dengan Jawatankuasa Penganjur Persidangan.

“Pada peringkat kebangsaan, Jawatankuasa Inter-Agency Working Committee (IAWC) on the Health of Effects of Non-Ionising Radiation yang dipengerusikan Kementerian Kesihatan Malaysia turut dianggotai oleh pelbagai organisasi seperti Agensi Nuklear Malaysia, merupakan platform yang digunakan pada peringkat kebangsaan bagi membincangkan isu NIR dan penemuan terkini dengan harapan sebarang tindakan yang diambil dan penyelesaian isu dapat tangani dan diselaraskan supaya rakyat dapat menikmati penggunaan teknologi dengan kesedaran yang jitu tentang keselamatannya.

“Ketika ini sinaran tidak mengion telah diaplikasikan secara meluas dalam pelbagai bidang industri, telekomunikasi, pertahanan, pengangkutan, pertanian dan juga hiburan. Berdasarkan kesedaran ini, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Nuklear Malaysia dalam menyumbang kepada pembangunan penyelidikan, standard dan garis panduan had dedahan sinaran tidak mengion di Malaysia demi memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat Malaysia terpelihara,” tambahnya.

Dalam persidangan ini, sejumlah 17 kertas terdiri daripada lima ucaptama dan 12 kertas kerja akan dibentangkan dan dihadiri oleh lebih 100 para penyelidik, ahli akademik dan pemain industri tempatan dan antarabangsa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kemajuan dan perkembangan sinaran tidak mengion.

-SH

Tinggalkan komen anda