Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Latifah Saad (Port Dickson)
PORT DICKSON, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abdul Ghani, berkata sukan mampu melahirkan negara yang sihat, rakyat yang cerdas dan bijak kerana kecerdasan itu lahir daripada badan yang sihat.
“Bagi memastikan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan ini berjaya, Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan program Bulan Sukan Negara yang dilaksanakan pada bulan Oktober setiap tahun yang melibatkan seluruh peringkat masyarakat.
“Sebab itu, kita buat aktiviti yang menggalakan masyarakat untuk terlibat daripada peringkat kanak-kanak tabika sehinggalah warga emas, katanya ketika merasmikan Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Daerah Port Dickson di Pantai Cahaya Negeri, di sini hari ini.
Menurut Taufek, keseimbangan antara kokurikulum dan akademik juga dapat melahirkan anak-anak yang berjaya.
“Konsep 3M iaitu Menarik, Mudah dan Murah seharusnya dijadikan sebagai langkah kepada semua untuk bergiat bersukan.
“Apabila rakyat sihat, kos perubatan negara juga dapat dijimatkan, ini kerana penjimatan kos ini dapat disalurkan dalam bidang lain seperti pendidikan dan pembangunan untuk rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut berkesempatan menyaksikan persembahan seni mempertahankan diri, sukan lompat tali, mencuba aktiviti memanah dan melawat ke tapak pameran agensi.
Pelbagai aktiviti telah diatur sebagai pengisian sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Daerah Port Dickson 2019, antaranya PD National Strong Festival dan N Joy Fit Ride Port Dickson.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Norazli Daud dan Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor.
-SH