Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kerajaan Pusat Prihatin Kepentingan Rakyat Sabah: Ewon

By 12 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyifatkan Bajet Negara 2020 sebagai manifestasi keprihatinan dan komitmen kerajaan pusat terhadap kepentingan rakyat Sabah terutamanya kenaikan peruntukan khas tahunan kepada kerajaan negeri.

Sambil menyambut baik Bajet 2020 itu beliau berkata, peruntukan khas tahunan kepada kerajaan negeri merupakan satu indikasi bahawa kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil kira pandangan pimpinan kerajaan Sabah.

“Kami di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) mengalu-alukan bajet tahunan kedua yang dibentangkan oleh kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan.

Ewon menerima baju sukan daripada Fredian, turut kelihatan Rasinin (dua dari kanan), Hj.Dumi (dua dari kiri) dan Aftar (kiri).

Ewon menerima baju sukan daripada Fredian, turut kelihatan Rasinin (dua dari kanan), Hj.Dumi (dua dari kiri) dan Aftar (kiri).

“Satu yang saya nampak sangat jelas perbezaan dari bajet-bajet sebelum ini ialah pemberian khas tahunan kepada kerajaan negeri Sabah dinaikkan sekali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.

“Ini merupakan satu indikasi bahawa kerajaan persekutuan mengambil kira pandangan pemimpin kerajaan Sabah pada hari ini yang menyampaikan pendirian dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pemberian hasil kepada Sabah yang perlu dikaji semula kerana ianya tidak pernah dilakukan sejak tahun 1969,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Hari Sukan KPLB Sabah sempena Bulan Sukan Negara 2019, di Dewan KPLB Sabah, di sini, pada Sabtu.

Ewon (tengah) bergambar bersama pegawai dan kakitangan KPLB Sabah.

Ewon (tengah) bergambar bersama pegawai dan kakitangan KPLB Sabah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut mengalu-alukan bajet besar yang diberikan kepada Sabah iaitu sebanyak RM5.2 bilion untuk pembangunan negeri ini.

“Peruntukan tersebut antaranya untuk jalan Pan Borneo, jalan luar bandar, bekalan air dan elektrik luar bandar, jalan-jalan perhubungan desa dan pelbagai lagi jenis pembangunan lain untuk masyarakat luar bandar,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penyelarasan dan kerjasama amat penting bagi memastikan pembangunan benar-benar sampai kepada sasaran.

Ewon (dua dari kanan) bersama-sama senamrobik sebelum pertandingan bermula.

Ewon (dua dari kanan) bersama-sama senamrobik sebelum pertandingan bermula.

“Penyelarasan yang sangat rapat harus dilaksanakan diantara agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri. Ini kerana kerajaan persekutuan tidak boleh melaksanakan apa juga projek pembangunan tanpa kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu Ewon berharap kerjasama dan penyelarasan antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri dapat dimantapkan lagi bagi memastikan kehendak pemimpin dan rakyat Sabah khususnya di luar bandar mencapai sasaran.

“Saya juga mengalu-alukan pelaksanaan 30 peratus kuota perolehan projek harus diberi kepada usahawan-usahawan bumiputera. Ini sesuatu yang sangat baik untuk golongan usahawan dan peniaga di kalangan bumiputera di negara ini,” katanya.

Ewon bersalaman dengan para pemain yang menyertai Sukan KPLBS.

Ewon bersalaman dengan para pemain yang menyertai Sukan KPLBS.

Beliau juga mengharapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bermula 2021-2025, rancangan pertama dalam Wawasan Kemakmuran Bersama dapat dilaksanakan secara sempurna.

“Secara peribadi, saya berpendapat Dasar Kemakmuran itu tidak dapat dilaksanakan secara sempurna kalau pemberian hasil, pemberian khas dan kenaikan royalti minyak Sabah tidak ditingkatkan kerana inilah yang diperlukan oleh kerajaan negeri untuk mengurus pembangunan di Sabah khususnya di luar bandar,” katanya.

Ewon (dua dari kanan), Rasinin (dua dari kiri), Charles W.Dabbi (kanan) dan Majaran Osman (kiri).

Pasukan badminton Ewon (dua dari kanan) dan regunya Charles Dabbi melawan Pasukan Rasinin (dua dari kiri) dan pasangan Majaran Osman (kiri).

Turur hadir Pembantu-pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah,Rasinin Koutis dan Dumi Pangiran Masdal; Setiausaha Tetap KPLBS, Fredian Gan; Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS, Aftar Nurajat serta pegawai-pegawai KPLBS.

ER

Tinggalkan komen anda