Laporan/foto: Hamidah Len/Johnny George Kimlon (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Misi Dokumentasi Konsulat Filipina yang dibuat di Luyang baru-baru ini, sah dan diselia secara eksklusif oleh Kedutaan Filipina di Malaysia.
Program tersebut merupakan inisiatif Kedutaan Filipina untuk memudahkan warganya di Sabah memperbaharui pasport, mendaftarkan kelahiran dan taraf perkahwinan di samping penyediaan dokumen perjalanan.
Kedutaan Filipina di Malaysia, Charles C.Jose berkata, aktiviti dokumentasi dikendalikan secara eksklusif oleh pegawai dan kakitangan Kedutaan Filipina dan tidak melibatkan mana-mana agensi.
“Program ini bagi membantu warga Filipina memperbaharui pasport khususnya yang tidak berkemampuan untuk ke Kuala Lumpur bagi tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Selasa.
Pihaknya juga berharap agar dapat terus menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Sabah dalam menangani isu pekerja tidak berdokumen yang menjadi kebimbangan bersama kedua belah pihak.
Terdahulu, Shafie turut menerima kunjungan hormat daripada Airbus Malaysia.
ER